Bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak
Najib Razak

KUALA LUMPUR – Datuk Seri Najib Razak menyifatkan Ahli Dewan Undangan Negeri Perai, Prof Dr P. Ramasamy tidak memahami bahawa rusuhan yang berlaku pada hari kedua di kuil Sri Maha Mariamman pada hujung bulan lalu berbeza dengan insiden hari pertama.

Disebabkan itu, katanya, Timbalan Ketua Menteri Pulau Pinang dan DAP masih enggan mengaku atau sengaja tidak mahu faham mengapa kenyataan bersama yang dikeluarkan oleh empat orang Menteri Pakatan Harapan yang menuduh pihak polis adalah satu tindakan yang salah.

“Tiada negara lain di dunia di mana menteri-menteri kerajaan sendiri menghasut rakyat sendiri dengan menyerang pihak berkuasa sendiri di Parlimen sendiri,” katanya dalam satu kenyataan di sini.

WhatsApp Image 2018-12-19 at 16.39.58

Najib mengulas kenyataan Ramasamy yang mempersoalkan mengapa Menteri di Jabatan Perdana Menteri Waytha Moorthy perlu melepaskan jawatannya.

Beliau mempersoalkan adakah Waytha Moorthy yang bertanggungjawab dalam insiden di kuil berkenaan sehingga mengakibatkan kematian seorang anggota polis, Muhammad Adib Mohd Kassim.

Malah, Ramasamy turut mempersoalkan adakah Wayha dan beberapa Menteri India yang lain membuat silap memperbetulkan kenyataan polis berkaitan insiden tersebut.

Bekas Perdana Menteri itu menegaskan, usaha memahami dan mengakui perbezaan ini adalah penting agar insiden tragis seperti ini tidak lagi berulang pada masa depan.

Katanya, pemimpin-pemimpin politik perlu hentikan polemik kerana ia melibatkan keamanan negara.

Pada 26 November lalu, beberapa Menteri dan Ahli Parlimen Pakatan Harapan menggesa tindakan disiplin dikenakan terhadap anggota polis daerah Subang Jaya, susulan rusuhan di Kuil Sri Maha Mariamman di USJ25 Subang Jaya.

Ini kerana, Waytha Moorthy mendakwa polis daerah Subang Jaya mengeluarkan kenyataan salah apabila mendakwa rusuhan berpunca daripada perselisihan faham antara dua kumpulan India mengenai perpindahan kuil.

Senator itu berkata, kenyataan salah dan tidak bertanggungjawab itu menimbulkan ketegangan dalam kalangan masyarakat India kerana kelewatan serta tindakan polis yang tidak berkesan untuk mengawal insiden berkenaan. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast