Bangunan Kementerian Kewangan. foto HAZROL ZAINAL, 02 NOVEMBER 2018.

KUALA LUMPUR – Kementerian Kewangan memberi pengecualian Cukai Perkhidmatan dan Jualan (SST) ke atas semua pemegang polisi individu yang telah membeli atau memperbaharui polisi insurans atau takaful umum mulai 1 Jun hingga 31 Ogos lalu.

Polisi itu tertakluk kepada cukai perkhidmatan untuk insurans motor, kebakaran dan kemalangan diri semasa tempoh sifar Cukai Barangan dan Perkhidmatan (GST).

Sehubungan itu, sekiranya syarikat insurans atau takaful telah mengenakan cukai perkhidmatan kepada pemegang polisi tersebut, mereka diminta memulangkan semula cukai perkhidmatan yang telah dibayar kepada pemegang polisi tersebut.

Menteri Kewangan, Lim Guan Eng berkata, langkah ini akan memberikan manfaat kepada 4.42 juta pemegang
polisi yang akan menjimatkan mereka pembayaran cukai sebanyak RM132 juta.

Polisi insurans dan takaful umum individu dan perniagaaan adalah tertakluk kepada cukai perkhidmatan mulai 1 September 2018.

Akta Cukai Perkhidmatan 2018 menghendaki syarikat insurans dan takaful mengenakan cukai perkhidmatan bagi tempoh yang dilindungi oleh polisi insurans atau takaful umum mulai 1 September 2018.

Akan tetapi, kata Guan Eng, kebanyakan polisi insurans atau takaful umum telah luput dalam tempoh dari 1hb Jun hingga 31 Ogos 2018. Oleh kerana SST belum diluluskan dan GST telah disifarkan maka polisi insurans atau takaful umum
tidak dikenakan cukai perkhidmatan 6 peratus. – MalaysiaGazette