gambar hiasan
Gambar hiasan

KUALA LUMPUR – PLUS Malaysia Bhd. (PLUS) akan menutup semua lorong tambah nilai di plaza-plaza tol semasa cuti perayaan Hari Krismas dan Tahun Baharu 2019.

Kesemua 97 Lorong Tambah Nilai di plaza tol di lebuh raya PLUS akan ditutup kepada orang ramai mulai 21 Disember 2018 hingga 2 Januari 2019 yang akan datang.

“Justeru itu, PLUS mengingatkan orang ramai supaya memastikan kad PLUSMiles atau kad Touch ‘n Go mereka mempunyai baki yang mencukupi menjelang cuti perayaan Hari Krismas dan Tahun Baru 2019 yang akan datang.

Orang ramai yang tidak mempunyai kad PLUSMiles atau kad Touch ‘n Go juga boleh menggunakan MyKad masing-masing untuk transaksi tol,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

MyKad dilengkapi dengan cip Touch ‘n Go boleh digunakan untuk transaksi tol.

PLUS juga menasihatkan orang ramai supaya menambah nilai kad masing-masing di kira-kira 10,000 lokasi tambah nilai lain di seluruh negara. Ia termasuklah di mesin ATM, kedai serbaneka 24-jam, stesen-stesen minyak dan lain-lain lagi.

Orang ramai juga boleh menambah nilai kad mereka di 66 lokasi Kiosk Layan Diri (Self-Service Kiosk) yang disediakan di plaza tol dan R&R terpilih serta di stesen-stesen minyak yang beroperasi di kawasan rehat (R&R) di sepanjang lebuh raya.

Selain daripada itu, pusat-pusat khidmat pelanggan PLUS akan dibuka di antara jam 7:00 pagi hingga 10:00 malam setiap hari (termasuk Sabtu, Ahad dan Cuti Umum) untuk membolehkan orang ramai membuat urusan tambah nilai di plaza-plaza tol terpilih. – MalaysiaGazette