SPR
Pengerusi Suruhanjaya Pilihan Raya Malaysia (SPR), Azhar Azizan Harun (kanan) melihat peta sambil diiringi Setiausaha Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR), Datuk Mohamed Elias Abu Bakar (tengah) dan Pegawai Daerah Cameron Highlands, Datuk Ishak Md Napis (kiri) pada sidang media mengenai Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen P.078 Cameron Highlands di Menara Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR), Putrajaya. foto IQBAL BASRI, 19 DISEMBER 2018

KUALA LUMPUR – Pilihan Raya Kecil (PRK) kerusi Cameron Highlands akan di adakan pada 26 Januari 2019 manakala hari penamaan calon ditetapkan pada 12 Januari depan.

Suruhanjata Pilihan Raya (SPR) turut menetapkan hari pengundian awal pula pada 22 Januari dan undi pos pula dibuka pada hari ini sehingga 11 Januari depan.

PRK itu diadakan berikutan keputusan Mahkamah Pilihan Raya telah mengisytiharkan keputusan Pilihan Raya Umum ke-14 pada 9 Mei lepas bagi kerusi Parlimen tersebut terbatal berikutan wujudnya unsur rasuah.

Bagaimanapun, penyandangnya, Datuk Sivarrajh Chandran tidak membuat rayuan dalam tempoh 14 hari seperti yang telah ditetapkan.

Pengerusi SPR, Azhar Azizan Harun berkata, pihaknya bersetuju untuk melantik Pegawai Daerah Cameron Highlands, Datuk Ishak Md Napis sebagai Pegawai Pengurus P078.

“Kita juga akan menubuhkan empat pasukan penguatkuasa PRK atau (PP-KPR) bagi memantau semua aktiviti kempen PRK sepanjang tempoh rasmi berkempen.

“SPR akan gunakan Bilik Gerakan Pejabat Daerah dan Tanah Cameron Highlands sebagai Pusat penamaan calon manakala Pusat Penjumlahan Rasmi Undi pula di Dewan Jubli Perak Sultan Haji Shah, Cameron Highlands.

“Saya juga gesa semua bakal-bakal calon yang ingin bertanding pada PRK kali ini agar mengisi dan membuat semakan awal pengisian borang selain membayar deposit lebih awal agar proses dapat berjalan dengan lancar,” katanya dalam sidang media di Putrajaya sebentar tadi.

Pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) lepas, Sivarraajh memenangi kerusi Parlimen Cameron Highlands yang melibatkan saingan lima penjuru dengan majoriti 597 undi.

Sivarraajh memperoleh 10,307 undi, menewaskan empat calon lain termasuk calon DAP M. Manogran yang meraih 9,710 undi; Wan Mahadir Wan Mahmud (PAS – 3,587 undi); Mohd Tahir Kassim (Berjasa – 81 undi) dan B Suresh Kumar (PSM – 680 undi).

Manogaran, 59, memfailkan petisyen pilihan raya pada 4 Jun lalu dengan memohon pengisytiharan bahawa keputusan PRU-14 untuk kerusi Parlimen Cameron Highlands terbatal kerana melanggar Akta Kesalahan Pilihan Raya 1954.

Pada 30 November lepas, Mahkamah Pilihan Raya mengisytiharkan kemenangan Barisan Nasional (BN) bagi kerusi Parlimen Cameron Highlands pada PRU14 adalah terbatal dan tidak sah selepas memutuskan berlaku amalan rasuah untuk mempengaruhi pengundi di kawasan itu.

Dewan Rakyat semalam menerima surat pemakluman daripada pengerusi Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) mengenai kekosongan luar jangka bagi kerusi Parlimen Cameron Highlands mulai 15 Disember lalu. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast