Gambar hiasan: Lebuhraya bertol

KUALA LUMPUR- Syarikat pengendali lebuh raya, PLUS Malaysia Bhd. (PLUS) yakin pelancaran sistem pengenalan frekuensi radio (RFID) tidak melanggar sebarang perjanjian dengan Touch ‘n’ Go.

Dalam satu kenyataannya di sini, PLUS memaklumkan syarikat tersebut telah menerima Notis Arbritrasi bertarikh 17 Disember 2018 iaitu tarikh yang sama diterima oleh syarikat induk Touch ‘n’ Go, CIMB Group Holdings Bhd.

Notis tersebut adalah untuk memulakan prosiding arbritrasi di bawah Undang-Undang Arbitrasi UNCITRAL berhubung pertikaian di bawah Perjanjian Usahasama bertarikh 12 Mei 1998 dan memohon injunksi untuk menghalang PLUS daripada melakukan sebarang urusan dengan sistem RFID berserta kerosakan, faedah dan kos.

“PLUS sangat percaya pelancaran projek perintis PLUS RFID akan memberikan lebih banyak pilihan kepada rakyat untuk membuat pembayaran kerana anda boleh menggunakan kad kredit, kad debit sebagai tambahan kepada e-wallet dan mod pra-bayar sedia ada yang ditawarkan oleh Touch ‘n’ Go.

“Perkhidmatan e-wallet Touch ‘n’ Go dan pembayaran pra-bayar akan kekal sebagai salah satu opsyen di dalam projek perintin bersasar PLUS RFID.

“Memberikan pilihan tambahan kepada pengguna lebuhraya sepatutnya dikira sebagai perkara baik sejajar dengan semangat perjanjian Touch ‘n’ Go yang mahu menyediakan perkhidmatan pelanggan terbaik.

“PLUS tidak sabar untuk menyatakan hujah kami semasa prosiding itu nanti,” katanya.

Selasa lalu, CIMB di dalam kenyataan di Bursa Malaysia memaklumkan telah memfailkan notis arbitrasi bertarikh 17 Disember kepada PLUS kerana di dakwa telah melanggar obligasinya kepada CIMB dan CIMB SI 1 Sdn. Bhd. selaku pemilik Touch ‘n’ Go apabila memulakan dan melancarkan sistem RFID sendiri.- MalaysiaGazette