Lapangan Terbang Gatwick

LONDON – Lapangan terbang Gatwick di London ditutup ketika para pegawai menyiasat laporan bahawa terdapat dua dron terbang di atas ruang udara lapangan terbang itu.

Semua penerbangan di lapangan terbang itu digantung menyebabkan gangguan teruk, hanya beberapa hari sebelum perayaan Krismas yang merupakan masa paling sibuk dalam setahun, lapor AP.

Polis dan pihak berkuasa penerbangan masih lagi menyiasat pada awal pagi ini ketika penerbangan dilencongkan ke lokasi lain di Britain dan negara jiran.

Para penumpang mengadu dalam akaun Twitter bahawa penerbangan mereka mendarat di lapangan terbang Heathrow di London, Manchester, Birmingham dan bandar-bandar lain. Malah terdapat penerbangan yang dilencongkan ke Perancis dan Belanda.

Seorang pengembara yang penerbangannya dilencongkan menulis dalam akaun Twitter bahawa penumpang tidak diberitahu bila mereka akan meneruskan perjalanan.

Lapangan Terbang Gatwick menerusi akaun Twitter menasihatkan para penumpang memeriksa jadual penerbangan sebelum pergi ke lapangan terbang itu. Ia juga mensihatkan mereka merancang perjalanan untuk mengambil penumpang dengan memeriksa jadual penerbangan.

Lapangan terbang yang terletak 43 kilometer di selatan London itu merupakan hab penerbangan utama syarikat penerbangan tambang murah, easyJet.

Pada kebiasaannya, Lapangan Terbang Gatwick beroperasi sepanjang malam namun bilangan pesawat dihadkan kerana had bunyi bising. – Agensi

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast