Cristiano Ronaldo telah membeli rumah mewah ini di Cheshire pada 2006.

LONDON – Bintang dunia, Cristiano Ronaldo mengejutkan peminatnya di Manchester apabila mengiklankan rumah miliknya di bandar itu untuk dijual.

Iklan itu sekali gus menghancurkan impian peminat fanatiknya untuk melihat dia kembali beraksi di Old Trafford pada masa akan datang.

Penyerang Juventus telah membeli rumah mewah berkenaan di Cheshire pada 2006 ketika bersama kelab di bawah pimpinan Sir Alex Ferguson.

Harga pasaran rumah itu ketika ini adalah £3.25 juta (RM17.19 juta) dan dilengkapi lima bilik tidur, kolam renang besar, bilik mandi air panas dan wap, gimnasium, pawagam dan bilik permainan.

Namun Ronaldo berdepan risiko kerugian jika berjaya menjual rumah yang dibelinya pada £ 3.85 juta (RM20.36 juta).

Ini bukan kali pertama bintang berusia 33 tahun tersebut cuba menjualnya dan pernah mengiklankan rumah mewah berkenaan pada 2009 ketika ingin meninggalkan Old Trafford untuk menyertai Real Madrid.

Bagaimanapun, rumah agam tersebut tidak dibiarkan tanpa didiami sesiapa.

Pada 2014, Luke Shaw menyewa kediaman itu daripada Ronaldo selepas dia menyertai United.

Menurut laporan The Sun pemain bek kiri terbabit membayar sewa £7,000 (RM37,000) sebulan kepada Ronaldo. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast