Ketua Parlimen DAP, Lim Kit Siang

KUALA LUMPUR –  DAP tidak akan teragak-agak untuk keluar dari gabungan kerajaan jika objektif Malaysia Baharu dipinggirkan.

Penasihat DAP, Lim Kit Siang berkata, mereka tidak akan sesekali menjadi “lembik” seperti pemimpin MCA.

Malah, sehingga bila-bila DAP tidak akan menjadi ‘MCA 2’.

Beliau berkata, perjuangan DAP menentang semua unsur salah laku termasuk kleptokrasi dan tidak akan menjadi seperti MCA yang seolah-olah tidak mempunyai ‘tulang belakang’.

“Kita lawan semua salah laku termasuk kleptokrasi, kita bukan seperti MCA yang mendiamkan diri dan seperti tiada tulang belakang. Kerana itu, kami tidak akan sesekali teragak-agak untuk keluar daripada Pakatan walaupun sudah mempunyai kerajaan kerana perjuangan kami untuk Malaysia Baharu jauh lebih penting,” katanya dalam satu kenyataan.

Tambahnya, parti itu juga bukan berasaskan perkauman seperti MCA yang hanya memperjuangkan masyarakat Cina.

Sebaliknya, dakwa Kit Siang, DAP adalah untuk semua.

Ahli Parlimen Iskandar Puteri itu berkata, kepimpinan DAP yang berprinsipkan perjuangan rakyat dan bukan untuk kepentingan diri sendiri dalam mengejar jawatan dan wang serta tidak akan berkompromi sekiranya idealogi ‘Malaysia Baharu’.

“Ada banyak sebab mengapa DAP tidak akan menjadi MCA2. Tetapi saya akan terangkan sekurang-kurangnya lima daripada sebab mengapa kami tidak sama dengan MCA dan tidak akan sesekali menjadi MCA yang kedua.

“Parti ini mewakili semua kaum termasuk Cina, India, Melayu, Iban, Kadazan, Orang Asli dan lain-lain manakala MCA hanya atau mengaku mewakili suara masyarakat Cina.

“Perjuangan dalam kalangan pemimpin kami juga bukan hanya berasaskan satu kaum sahaja, saya bagi contoh, Setiausaha Agung DAP merangkap Menteri Kewangan, Lim Guan Eng satu-satunya pemimpin yang disumbatkan ke penjara kerana cuba membela nasib mangsa rogol Melayu satu ketika dulu.

“Kami juga bukan dalam golongan yang mengejar harta benda, jawatan mahupun pangkat untuk berada di tahap ini, kami bukan MCA,” katanya dalam laman blog beliau sebentar tadi.

Beliau mengulas coretan Tan Sri Clement Hill yang telah puji menggunung prinsip dan ketegasan Kit Siang dalam dunia politiknya selama hampir 50 tahun.

Kata Clement, Kit Siang tidak pernah berubah dalam berjuang memastikan ketelusan serta keadilan dapat diberikan kepada rakyat jelata, selain daripada membawa Malaysia ke era lebih hebat  dan itu adalah antara intipati mengapa DAP tidak akan menjadi MCA 2.

“Perjuangan tanpa berasaskan kaum yang menjadi prinsip dan amalan DAP adalah salah satu cara untuk negara mara ke hadapan dengan lebih hebat dan stabil pada masa hadapan sebenarnya ,” tegasnya. –MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast