Ketua Srikandi Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM), Datuk Seri, Rina Mohd Harun bercakap pada sidang media khas di Ibu Pejabat PPBM, Selangor. foto HAZROL ZAINAL, 21 DISEMBER 2018.

KUALA LUMPUR – Srikandi Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu)
menyerah kepada kebijaksanaan Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad dalam isu desakan agar P Waytha Moorthy digugurkan sebagai menteri.

Ketuanya, Datuk Seri Rina Mohd. Harun berkata, kes tersebut mendapat banyak pandangan yang diberi oleh rakyat dan netizen kerana Menteri di Jabatan Perdana Menteri itu dilihat tidak berjaya mereda keadaan isu Kuil Sri Maha Mariamman ketika itu.

“Secara peribadi beliau perlu melihat dan mengambil ikhtibar serta mendengar pandangan rakyat. Saya tidak pasti kalau beliau boleh memohon maaf bagi meredakan keresahan rakyat.

“Apa pun saya serah kepada Perdana Menteri untuk membuat keputusan,” katanya.

Beliau yang juga Menteri Pembangunan Luar Bandar berkata demikian pada sidang media di Ibu Pejabat Bersatu di sini hari ini.

Rina diminta mengulas desakan pelbagai pihak yang mendesak Waytha Moorthy meletak jawatan selain tindakan Armada Bersatu yang turut menyerahkan memorandum kepada Mahathir baru-baru ini bagi menggesa pengguguran Pengerusi Hindraf itu sebagai menteri. – MalaysiaGazette