Dr. Raduan Che Rose.

KAJANG – Menteri Di Jabatan Perdana Menteri P. Waytha Moorthy sepatutnya mengharmonikan suasana yang hangat menerusi permohonan maaf dan penyesalannya terhadap ucapan-ucapan yang mencetuskan kemarahan sebelum ini.

Namun kata Presiden Majlis Profesor Negara (MPN), Prof. Datuk Dr Raduan Che Rose sehingga kini Waytha gagal berbuat demikian dan dibimbangi kedegilannya itu akan membawa kesan negatif kelak.

“Masih belum ada suara menyesal daripada beliau saya masih bertanya apa ada dalam hati beliau sama ada masih berpendirian sama atau menyesal?

“Berdepanlah dengan orang yang tidak bersetuju dengan beliau kalau tidak perkara ini akan menjadi besar. Kalau tidak sentiasa akan ada desakan demi desakan,” katanya ketika sidang media hari ini.

Waytha, tambah Raduan perlu sedar menjadi seorang menteri perlu berjiwa besar dan membelakangi dendam termasuk kapasiti peribadinya.

“Sekiranya ada perasaan dendam, marah kecewa yang mewakili satu masyarakat beliau perlu berjiwa besar melihat perpaduan semua kaum,” katanya lagi.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas mengenai kenyataan Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad yang sehingga kini tidak memperlihatkan Waytha akan disingkirkan daripada barisan jemaah kabinet sungguhpun ramai yang mendesaknya menerusi pelbagai medium termasuklah petisyen yang dibuat dan kini mencecah lebih kurang 300,000.

Malah Tun M berkata, Waytha perlu diberi peluang kerana pemimpin itu baru memulakan tugas sebagai menteri.

Sekalipun menentukan ahli pasukan dalam kabinet dan memecat adalah dalam bidang kuasa Perdana Menteri namun tambah Raduan kritieria seorang menteri yang sepatutnya dipilih adalah ahli politik yang mendepankan keharmonian negara dalam melontarkan kenyataan.

“Apa pun yang kita harapkan seorang menteri mesti membawa dirinya sebagai menteri yang mempunyai pandangan demi kepentingan negara yang saya harap siapa pun jadi menteri yang dipilih ada kriteria ini.

“Bila jadi menteri kamu tidak lagi hanya mewakili parti,”ujar Raduan.-MalaysiaGazettte

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast