Pengasas Suspended Meal, Shafezah Abdul Wahab menyampaikan sumbangan bernilai RM2,000 kepada Pusat Bimbingan Alternatif Cinta Syria Malaysia.
Pengasas Suspended Meal, Shafezah Abdul Wahab menyampaikan sumbangan bernilai RM2,000 kepada Pusat Bimbingan Alternatif Cinta Syria Malaysia.

BANGI – Mahasiswa UiTM Shah Alam menerusi Pusat Ko Kurikulum dengan kerjasama badan kamanusiaan Suspended Meal menganjurkan program khidmat masyarakat bersama lebih 40 anak-anak Syria di Pusat Bimbingan Alternatif Cinta Syria Malaysia sempena dengan Hari Kesukarelawanan Dunia.

Program ini bertujuan mendekatkan golongan belia khususnya mahasiswa dengan masyarakat yang pelbagai di mana bantuan atau inisiatif membantu masyarakat tidak seharusnya tertumpu kepada komuniti setempat semata-mata.

Pengasas Suspended Meal yang juga pensyarah Fakulti Komunikasi dan Pengajian Media Universiti Teknologi MARA (UiTM); Shafezah Abdul Wahab berkata, ia seharusnya melangkaui kaum, bangsa serta tidak tertakluk kepada rakyat negara ini yang memerlukan semata-mata.

“Dalam usaha membantu masyarakat yang memerlukan, tumpuan tidak hanya kepada golongan penduduk tempatan sahaja.

“Kami melaksanakan tanggungjawab sosial ini tidak hanya tertumpu kepada penduduk tempatan sebaliknya melangkau pelbagai komuniti yang memerlukan termasuklah golongan anak-anak Syria ini yang disifatkan sebagai golongan asnaf,” katanya.

Shafezah mengulas mengenai aktiviti kemasyarakatan “A Day With Syrian Kids” menerusi Pusat Ko Kurikulum UiTM Shah Alam yang memberikan pendidikan dan peralatan muzik, penyediaan makanan serta sumbangan kewangan untuk pembangunan sekolah yang diusahakan oleh para sukarelawan yang terdiri daripada pelajar-pelajar ko kurikulum daripada Fakulti Muzik, Fakulti Sukan & Rekreasi dan Fakulti Komunikasi & Pengajian Media.

Selain itu, program ini juga turut mendapat sumbangan dan tajaan orang ramai.

WhatsApp Image 2018-12-21 at 7.10.28 PMSementara itu, menurut Ketua Projek, Braxter Chong Hong Liang, program sebegini sememangnya nampak kecil namun ia dapat menanam semangat yang tinggi dari kalangan mahasiswa UiTM dalam menyumbang bakti dan menyebarkan kebaikan kepada mereka yang memerlukan.

“Kolaborasi bersama Suspended Meal dan Pusat Bimbingan Alternatif Syria @ Sekolah Kita ini merupakan jalinan strategik yang kami lakukan dalam usaha membantu masyarakat menerusi gerakan sosial yang memberi tumpu kepada golongan yang memerlukan.

Tambahnya, usaha ini bukan sekadar meluangkan masa dan memberi rezeki kepada masyarakat memerlukan semata-mata malah dapat mendidik masyarakat khususnya sukarelawan yang terdiri dari kalangan belia akan keprihatinan serta perkongsian yang perlu dilakukan bersama masyarakat.

Braxter menyifatkan inisiatif murni ini dapat menyuburkan sifat-sifat mulia melalui kesukarelawan yang dapat diterapkan sebagai satu budaya.

Jalinan strategik bersama antara university, badan kemanusiaan serta masyarakat seperti ini merupakan satu platform amal yang positif kerana fokus pendidikan menerusi khidmat masyarakat diutamakan. -MalaysiaGazette