Liew Chin Tong
Liew Chin Tong

KUALA LUMPUR – Senator Liew Chin Tong mahu masyarakat tidak hanya tertumpu kepada dakwaan penasihat DAP, Lim Kit Siang bahawa parti itu tidak teragak-agak untuk keluar Pakatan Harapan (PH) sekiranya kerajaan baharu mengabaikan objektif Malaysia Baharu.

Pengerusi DAP Johor itu berkata, dalam skop menyeluruh kenyataan Kit Siang menjelaskan pihaknya mahu memastikan DAP dan semua parti dalam PH menyedari tentang Malaysia Baharu.

Menurutnya kenyataan Kit Siang perlu dilihat dalam konteks lebih besar dan luas dan itu yang perlu diteliti dan jadikan fokus bagaimana untuk bersama-sama berusaha ke arah Malaysia Baharu.

“KIta memerlukan satu naratif untuk menyatukan semua pihak untuk tujuan nasional tetapi masalah kita hadapi sekarang adalah masing masing bercakap perkara yang berbeza dan tidak sehaluan, tidak lagi menyentuh naratif nasional,” katanya dalam sidang media di Kem Sungai Besi.

Terdahulu beliau hadir pada Perbarisan Tahunan Putera yang menamatkan Latihan Ketenteraan selama dua tahun di Maktab Tentera Diraja Kem Pedana Sungai Besi pagi tadi.

Seramai 251 pelajar yang menduduki Sijil Pelajaran Malaysia dan menjalani latihan ketenteraan di maktab berkenaan menyertai Perparisan Tahunan Putera di Padang Kawat maktab tersebut.

Tambah beliau, kenyataan Ahli Parlimen Iskandar Puteri itu memberi pesanan bahawa semua parti dalam PH khususnya DAP bukan hanya berpolitik.

“Semua perlu faham bahawa DAP tidak berpolitik untuk mengukuhkan kedudukan dalam kerajaan sekarang, tetap mesej yang jelas ialah dia berpolitik demi pembentukan Malaysia yang gemilang. – MalaysiaGazette