Datuk Seri Najib Razak
Najib Razak

KUALA LUMPUR – Datuk Seri Najib Razak meramalkan tahun 2019 sebagai tahun mencabar untuk Malaysia.

Ia berdasarkan penurunan unjuran kadar pertumbuhan ekonomi beberapa kali yang dibuat oleh pelbagai pihak.

Sebagai contoh, syarikat penarafan kredit antarabangsa Moody’s telah menurunkan kadar pertumbuhan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) negara kepada 4.4 peratus untuk 2019 dan 3.6 peratus untuk 2020 berbanding 5.9 peratus untuk tahun 2017 di bawah kerajaan Barisan Nasional (BN).

Kerajaan Pakatan Harapan (PH) telah mengumumkan akan menaikkan tarif elektrik pada bulan Mac dan akan naik lagi pada bulan Julai tahun depan selepas tarif elektrik dinaikkan selepas PRU14.

Tarif air untuk semua negeri akan dinaikkan tahun depan manakala harga petrol diapung semula bermula April tahun depan.

Pada masa yang sama, defisit negara akan lebih besar tahun depan berbanding tahun 2017 dan kemungkinan besar akan bertambah teruk kerana Menteri Kewangan telah silap membuat andaian belanjawan tahun depan dengan harga minyak dunia pada AS$72, kata bekas Perdana Menteri itu.

Harga minyak sekarang sudah jatuh kepda AS$52 satu tong tetapi Lim Guan Eng masih enggan untuk mengubahsuai belanjawan untuk menghadapi realiti baru ini.

Harga komoditi lain seperti minyak sawit dan getah juga diunjurkan untuk terus lemah tahun depan.

Harga sawit mungkin bertambah teruk tahun depan kerana pada minggu lalu, kerajaan PH telah gagal untuk menghalang Perancis dari meluluskan satu undang-undang menolak penggunaan minyak sawit di negara mereka.

Najib bimbang negara-negara lain di Eropah akan mengikut langkah Perancis.

Persekutuan Majikan Malaysia (MEF) juga telah memberi amaran bahawa majikan dalam semua sektor ekonomi, dijangka buang pekerja dan tidak buat pengambilan baru pada tahun depan kerana keadaan ekonomi yang semakin menurun.

MEF juga mengadu kos pengeluaran telah meningkat akibat beberapa dasar baru kerajaan PH sementara peluang pekerjaan dalam sektor perkhidmatan juga dijangka berkurang berikutan jangkaan kemerosotan jumlah pelancong China yang memasuki negara ini.

Berikutan ini, MEF bimbang terhadap prospek pekerjaan untuk 450,000 ke 500,000 golongan belia yang akan memasuki pasaran kerja tahun depan.

Persatuan pengguna turut meramalkan pengguna perlu bayar lebih banyak untuk barang makanan tahun depan berikutan ekonomi yang lembap dan kelemahan ringgit.

“Pada masa yang sama, ramai penganalisa percaya perebutan kuasa di dalam kerajaan PH yang telah bermula akan bertambah hangat tahun depan dan mungkin menjejaskan kestabilan politik dan ekonomi negara.

“Oleh itu, rakyat Malaysia perlu lebih bersabar dan sedia berkorban seperti disaran oleh kerajaan PH,” kata Najib. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast