foto: Bernama

PUTRAJAYA, 24 Dis (Bernama) — Seramai 30 aktivis yang mewakili 211 badan bukan kerajaan (NGO) hari ini menyerahkan memorandum kepada Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad bagi menyokong Senator P. Waytha Moorthy mengekalkan jawatannya sebagai Menteri di Jabatan Perdana Menteri.

Peguam dan aktivis sosial, Siti Zabedah Kasim atau lebih dikenali sebagai Siti Kasim, yang mewakili kumpulan itu berkata Waytha Moorthy tidak perlu dipersalahkan berikutan tragedi rusuhan di Kuil Sri Maha Mariamman, Subang Jaya bulan lepas.

“Kami harap Perdana Menteri tidak tunduk pada desakan puak yang menggunakan kaum dan agama untuk mengeruhkan keadaan,” katanya kepada pemberita di luar bangunan Perdana Putra, di sini.

Memorandum itu diserahkan kepada Setiausaha Politik Perdana Menteri Abu Bakar Yahya.

Waytha Moorthy yang merupakan menteri bertanggungjawab bagi Perpaduan Negara dan Kesejahteraan Sosial, menghadapi desakan supaya meletak jawatan akibat kegagalan beliau mengendurkan ketegangan kaum berhubung rusuhan tersebut yang meragut nyawa seorang anggota Jabatan Bomba dan Penyelamat Muhammad Adib Mohd Kassim. – Bernama

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast