Khairy Jamaluddin
Khairy Jamaluddin

KUALA LUMPUR – Ahli Parlimen  Rembau, Khairy Jamaluddin berharap kerajaan mendedahkan Mekanisme Penentuan Harga secara Automatik (APM) petrol yang akan dilaksanakan pada Januari 2019 bagi memudahkan rakyat membuat semakan harga jualan petrol.

Khairy juga mahu kerajaan mengumumkan sama ada harga siling petrol ditentukan sebelum subsidi diberi atau tidak.

Apa yang pasti, katanya, keputusan kerajaan Pakatan Harapan (PH) untuk mengembalikan sistem APM mengikut harga apungan semasa terbukti bahawa kaedah yang digunakan oleh kerajaan Barisan Nasional sebelum ini adalah tepat dan sangat sesuai dilaksanakan.

Bagaimanapun menurut beliau, sementara menunggu pengumuman harga runcit baharu petrol ‪pada 1 Januari ini, Kementerian Kewangan (MOF) atau Kementerian Perdagangan Dalam Negeri Dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) diharap dapat menjelaskan kepada rakyat Malaysia berapakah jumlah keuntungan hasil jualan petrol yang telah dikutip oleh kerajaan dari tempoh tersebut hingga sekarang disebabkan perbezaan harga.

“Berbalik kepada isu asal, harga terkini RON95 mengikut APM bagi setiap liter adalah lebih rendah daripada harga jualan yang ditetapkan kerajaan iaitu RM2.20 seliter.

“Kadar harga di bawah RM2.20 ini juga bukanlah baru berlaku beberapa hari yang lepas, sebaliknya sudah berlarutan sejak 8 November yang lalu, lebih daripada sebulan.

“Dengan kata lain, lebih sebulan jugalah kerajaan telah mengutip keuntungan atau mengenakan cukai ke atas setiap liter jualan petrol,” katanya dalam kenyataan yang dimuat naik dalam laman Facebook beliau hari ini.

Malah tambah beliau, semakan mendapati harga jualan petrol RON95 bagi minggu ini adalah sekitar RM1.94 seliter manakala bagi tempoh 5 minggu sebelum ini, harga sepatutnya antara RM1.95 seliter sehingga RM2.18 seliter sahaja.

Namun jelasnya, kerajaan masih mengekalkan harga jualan RON95 pada RM2.20 seliter walaupun berlaku penurunan harga yang agak ketara bagi tempoh tersebut.

“Walaupun kerajaan belum menjelaskan sama ada penentuan harga jualan petrol akan dilaksanakan secara bulanan atau mingguan, saya merasakan mekanisme penentuan secara mingguan adalah lebih baik dan telus memandangkan keadaan turun naik harga minyak dunia yang tidak menentu sepanjang masa dan saudara Rafizi pun setuju dengan kaedah mingguan ini,” ujarnya.

Bekas Menteri Belia dan Sukan itu turut turut menyindir kerajaan dengan mengucapkan tahniah kerana dapat menunaikan salah satu janji besar pilihanraya iaitu menstabilkan harga minyak.

“Seperti yang kita maklum harga RON95 kekal pada harga RM2.20 seliter dari Mei sehingga akhir tahun ini dan bersyukur dapat Kerajaan yang mengutamakan rakyat.

“Ini mestilah sebab Kerajaan Pakatan Harapan ini menyediakan subsidi yang besar untuk memastikan harga minyak tidak naik, bukan seperti zaman Barisan Nasional!

“Tetapi, betul juga cakap “lunch buddy” saya, Saudara Rafizi Ramli: bukan ke harga minyak dunia dah turun? Beliau ada buat kiraan sendiri… Saya pun cuba buat kiraan saya ikut harga mingguan untuk mengesahkan kiraan Rafizi.

bayar cukai petrol
Pengiraan harga petrol seliter yang dikongsi KJ dalam media sosial FB peribadinya pagi ini.

“Rupa-rupanya, sudah 6 Minggu Kerajaan Pakatan Harapan kenakan cukai ke atas jualan petrol, Apa maksud saya? maksud saya sudah 6 minggu rakyat membayar ‘LEBIH’ dari harga pasaran yang mana bukan setakat tidak dapat subsidi tetapi juga 6 minggu rakyat bayar ‘cukai’ kepada Kerajaan setiap kali isi minyak,” tegasnya.

Bagaimanapun beliau mengingatkan rakyat bahawa janji pilihanraya bukan ‘turut’ harga minyak tapi ‘menstabilkan ‘harga minyak.

“Walaupun harga minyak di pasaran dunia sudah turun Kerajaan tak perlu turunkan harga petrol di Malaysia sebab janji nak stabilkan sahaja! Kan dah kena,” jelas beliau.

Menurut beliau, kerajaan PH memutuskan untuk mengembalikan APM berdasarkan apungan harga semasa seperti yang pernah dilaksanakan BN sebelum ini dan diumumkan dalam pembentangan Belanjawan 2019 pada 2 November lalu.

Khairy mengaku pernah menulis tentang mekanisme penentuan APM bagi harga petrol sebelum ini yang mana penentuannya adalah menerusi indeks Mean of Platts Singapore (MOPS).

“Mungkin ramai akan bertanya kenapa perlu dirujuk pada Singapura? Realitinya, indeks MOPS adalah standard yang digunakan oleh banyak negara ASEAN dalam penentuan harga jualan petrol di negara masing-masing. Malah Australia juga menggunakan rujukan MOPS ini,” ujar beliau. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast