KUALA LUMPUR – Isteri kumpulan terkenal Indonesia, Allahyarham Bani dari kumpulan Seventeen yang terkorban dalam tragedi bencana alam tsunami baru-baru ini meluahkan rasa hatinya menerusi coretan di laman sosial.

Menulis di Instagramnya Cindri Wahyuni menganggap apa yang berlaku ke atas suaminya itu telah ditentukan oleh Ilahi dan redha dengan pemergiannya.

Malah, beliau turut meninggalkan pesanan kepada sesiapa sahaja yang mengenali Allahyarham suaminya itu agar mengampunkan segala kesalahan yang pernah dilakukan.

Beliau turut meminta jika suaminya ada meninggalkan hutang ketika hayatnya agar penuntut datang bertemu dengannya bagi menyelesaikan perkara itu.

“Assalamualaikum Warahmatullahi wabarakatuh. Innalillahiwainnalillahirojiun, telah berpulang suami yang sangat saya cintai@baniseventeen mohon maaf atas segala kesalahan, semoga Allah mengampuni segala dosanya, diterima amal ibadahnya, solatnya, diterangkan jalannya ke jannahnya, husnul khotimah.

“Jika suami ada hutang, hubungi saya dan keluarga. Mami dan Nara sangat mencintai Bebi (Bani), tapi Allah lebih cinta Bebi. Insyaallah kita bertemu kelak di jannah ya,” luahnya di laman sosial berkenaan.

Tulisnya lagi, Allahyarham suaminya itu banyak mengajarnya tentang kehidupan dan tidak banyak mengeluh.

Katanya, apa yang ditunjukkan oleh suaminya itu diharap mampu dijadikan tauladan buat dirinya.

Dia turut memohon maaf kepada teman-teman dan sahabat handai yang mengucapkan salam takziah atas pemergian suaminya itu kerana tidak dapat membalas segala mesej yang diterimanya satu persatu.

“Begitu banyak bantuan dari teman-teman, sahabat, pengurusan, teman sejawat, Allah yang akan membalas kalian,” tulisnya lagi.

Cindri memaklumkan bahawa suaminya akan dikebumikan selepas solat Zohor hari ini di Gamping Yogyakarta.

Beliau turut memohon agar rakan-rakan dilaman sosialnya tidak berkongsi video saat kejadian yang menimpa suaminya itu kepadanya. – MalaysiaGazette