KUALA LUMPUR -Pas tidak akan bergabung dengan UMNO kerana parti itu ibarat bahtera yang telah bocor, kata presidennya Datuk Seri Abdul Hadi Awang.
“UMNO sekarang mengalami kebocoran bahtera. Kaedah kita orang pergi laut, kalau bahtera bocor kita pergi dekat, bahtera kita pun boleh tenggelam sama.
“Nak gabung dengan parti bocor ini satu benda yang sulit dan payah,” katanya seperti laporam Harakahdaily hari ini.
Ahli Parlimen Marang itu berkata demikian dalam sesi soal jawab bersama warga Malaysia pada program “An Evening With Tuan Guru Abdul Hadi Awang” di Dublin, Ireland, kelmarin.
Walaupun sebelum ini Pas kelihatan mesra dengan UMNO di bawah pimpinan Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi.
Bagaimanapun badai yang melanda sehingga memaksa Ahmad Zahid mengundurkan diri akhirnya membuatkan Pas mula menjarakkan diri semula.
Semalam, Presiden Parti Pribumi Bersatu Malaysia, Tan Sri Muhyiddin Yassin menyifatkan Pas akan kekal menjadi pembangkang selama-lamanya jika terus mahu bergabung dengan UMNO dan enggan bekerjasama semasa diajak Pakatan Harapan sebelum PRU-14.-MalaysiaGazette