Gambar hiasan. Ganja untuk perubatan
Gambar hiasan. Ganja untuk perubatan

IPOH- Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) hanya akan mempertimbangkan penggunaan ganja untuk tujuan perubatan apabila ada bukti yang menunjukkan ia berkesan dan selamat digunakan.

Timbalan Menteri Kesihatan, Dr. Lee Boon Chye berkata, syarikat-syarikat perubatan perlu mengeluarkan bukti tentang penggunaan ganja untuk tujuan perubatan sebelum dadah tersebut boleh didaftarkan.

“Beberapa syarikat telah mendaftar sebelum ini tetapi pendaftaran tersebut telah pun dibatalkan.

“Jadi, sekiranya terdapat mana-mana syarikat farmaseutikal yang berhasrat untuk mendaftar ganja sebagai ubat, mereka perlu menyerahkan maklumat latar belakang yang mengandungi beberapa perkara penting termasuklah sama ada ianya selamat dan berkesan apabila digunakan.

“Jika ada cukup maklumat yang menunjukkan ganja selamat dan berkesan untuk digunakan kepada sesetengah keadaan, KKM mungkin akan memberi pertimbangan sewajarnya berdasarkan petunjuk-petunjuk tertentu,” katanya kepada pemberita apabila ditanya mengenai apakah Malaysia akan mengikuti jejak Thailand yang menghalalkan ganja untuk tujuan perubatan.

Tambah Dr. Boon Chte, walaupun syarikat-syarikat farmaseutikal telah membuat permohonan untuk mendaftarkan ganja, dadah tersebut tetap akan diletakkan di bawah Akta Racun yang kemudiannya jatuh ke bawah Akta Dadah Merbahaya yang mana memiliki dan penjualannya adalah haram.

Jelasnya, pada kebiasaannya, sesebuah syarikat yang mahu mendaftarkan ubat di bawah Akta Racun perlu mendaftar bentuk dan dos penggunaan dadah berkenaan.

“Ianya perlu diperincikan sama ada dadah tersebut dalam bentuk pil, serbuk atau cecair.

“Dos penggunaannya juga perlu diletakkan secara jelas. Kesemua ini perlu ditulis dengan jelas di dalam permohonan berkenaan.

“Hanya doktor bertauliah sahaja yang boleh memberi preskribsi ubat tersebut berdasarkan maklumat yang telah diberikan,” tegasnya.

Semalam, Thailand mengumumkan penggunaan ganja dibenarkan di negara itu untuk tujuan perubatan dan penyelidikan.

Ia merupakan negara pertama di rantau ini yang meluluskan penggunaan ganja. – Malaysiagazette