Pelabuhan Tanjung Pelepas

KUALA LUMPUR – Jumlah penawaran dan penggunaan dalam ekonomi Malaysia bernilai RM3.5 trilion pada tahun 2015 berbanding RM2.7 trilion pada tahun 2010, tumbuh sebanyak 5.7 peratus setahun dalam tempoh lima tahun.

Dari segi penawaran, pengeluaran domestik merupakan penyumbang terbesar sebanyak 78.1 peratus dan import 20.6 peratus.

Ketua Perangkawan, Datuk Seri Dr Mohd Uzir Mahidin berkata, cukai bersih ke atas produk menyumbang sebanyak 1.3 peratus.

Pengeluaran domestik didorong oleh sektor pembuatan dengan sumbangan 42.1 peratus (RM1.2 trilion) dan penyumbang utama sektor ini ialah pembuatan komponen dan papan elektronik (12.6%).

Sementara itu, sebanyak 41.8 peratus disumbangkan oleh sektor perkhidmatan.

Daripada peratusan tersebut, subsektor perdagangan borong & runcit merupakan pemacu utama dengan sumbangan sebanyak 10.9 peratus.

Jumlah import barang dan perkhidmatan pada tahun 2015 adalah RM728.8 bilion, berkembang sebanyak 4.6 peratus setahun.

Nilai import barang mencatatkan RM572.1 bilion (78.5%) pada tahun 2015, manakala import perkhidmatan meningkat kepada RM156.7 bilion (21.5%).

Tambah beliau, dari segi penggunaan, penggunaan akhir mencatatkan 53.8 peratus berbanding penggunaan perantaraan 46.2 peratus.

Penggunaan perantaraan pada tahun 2015 adalah RM1.6 trilion berbanding RM1.3 trilion pada tahun 2010, merekodkan kadar pertumbuhan tahunan sebanyak 5.2 peratus.

Sektor Pembuatan kekal sebagai penyumbang terbesar bagi penggunaan perantaraan (56.1%), meningkat kepada RM917.6 bilion pada tahun 2015 daripada RM720.3 bilion (2010: 56.8%).

Penggunaan akhir berkembang 6.2 peratus setahun untuk mencapai RM1.9 trilion berbanding RM1.4 trilion pada 2010. Eksport merupakan penyumbang terbesar bagi penggunaan akhir iaitu 42.9 peratus diikuti Penggunaan Swasta dengan 33.5 peratus.

Jumlah eksport barang dan perkhidmatan pada tahun 2015 adalah RM817.4 bilion dengan kadar pertumbuhan tahunan sebanyak 1.9 peratus.

Manakala, nilai eksport barang mencatatkan RM681.3 bilion (83.3%) dan eksport perkhidmatan meningkat kepada RM136.1 bilion (16.7%) pada tahun 2015.

Penggunaan swasta pada tahun 2015 bernilai RM637.5 bilion, peningkatan sebanyak 10.5 peratus setiap tahun (2010: RM387.1 bilion).

Tambahnya, makanan & minuman bukan beralkohol mencatatkan sumbangan tertinggi kepada penggunaan isi rumah di Malaysia dengan RM136.6 bilion (20.6%).

Daripada jumlah tersebut, minyak sawit bertapis merupakan penggunaan yang terbesar dengan 2.6 peratus, diikuti oleh telur ayam serta minyak kelapa dengan masing-masing menyumbang sebanyak 1.9 peratus dan 1.2 peratus.

Penyumbang kedua terbesar kepada penggunaan isi rumah adalah perumahan, air, elektrik, gas dan lain-lain bahan api (15.6%) atau RM103.4 bilion dan diikuti oleh Pengangkutan dengan 13.4 peratus (RM88.9 bilion).

Pembentukan Modal Tetap Kasar (PMTK) pada tahun 2015 merekodkan pertumbuhan sebanyak 11.0 peratus setahun, meningkat kepada RM307.2 bilion daripada RM182.6 bilion pada tahun 2010.

Sektor Perkhidmatan merupakan penyumbang terbesar kepada PMTK dengan 57.7 peratus atau RM177.4 bilion.

Pada tahun 2015, ekonomi Malaysia telah mencapai nilai ditambah sebanyak RM1.1 trilion berbanding RM805.2 bilion pada tahun 2010, meningkat 7.0 peratus setahun. – MalaysiaGazette