Crystal Palace
Zaha menerima lamaran jackpot dari kelab China

LONDON – Wilfried Zaha menerima tawaran jackpot bernilai £11 juta untuk berhijrah ke Liga China Januari depan.

Penyerang Crystal Palace itu kini diburu kelab Liga Super, Dalian Yifang.

Kelab China itu dikatakan bersedia menjadikan Zaha pemain yang dibayar gaji terbaik di dunia.

Mereka bersedia melamar Zaha dengan tawaran minimum £44 juta (RM233.5 juta) selepas cukai untuk kontrak bertempoh 4 tahun.

Bekas bintang Manchester United itu berpotensi menerima tambahan £2.5 juta setahun sebagai bonus.

Justeru Kelab Super Liga China itu juga akan menyediakan penerbangan kelas pertama yang akan membolehkan Zaha kembali lebih kerap ke England.

Pakej itu bernilai lebih besar berbanding kontrak semasa Zaha bersama the Eagles iaitu £130,000 seminggu.

Dalian Yifang yang dikendalikan bekas pemain Real Madrid, Bernd Schuster akan mengemukakan bidaan kepada Palace sejurus selepas jendela perpindahan musim sejuk dibuka Januari ini.

Kebarangkalian Palace menerima tawaran itu adalah kecil memandangkan kepentingan Zaha oleh kelab dan juga kontrak yang dimeterai sehingga 2023.

Selain kelab China, beberapa kelab Eropah juga mengintai pemain berusia 26 tahun itu. – MalaysiaGazette