Azwanddin hampir tersemban ke tanah ketika turun dari trak polis semasa hendak dihadapkan ke Mahkamah Majistret Klang pagi tadi.

KUALA LUMPUR – Polis Diraja Malaysia (PDRM) digesa supaya menjalankan siasatan secara menyeluruh kes dan punca keresahan orang Melayu dan kes kematian Allahyarham Muhammad Adib Mohd. Kassim.

Siasatan itu bukan sahaja tertumpu kepada penahanan Presiden Pertubuhan Jaringan Melayu Malaysia (JMM), Datuk Azwanddin Hamzah yang direman selama empat hari bermula hari ini ekoran ucapannya pada Perhimpunan Aman Keadilan Untukmu Adib dan Desakan Pecat P. Waytha Moorthy di Dataran Seni Klang Selasa lalu.

Datuk Mohd Imran Tamrin
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sungai Panjang, Datuk Mohd Imran Tamrin.

Peguam, Datuk Mohd. Imran Tamrin berkata, tanpa prejudis terhadap kredibiliti dan kecekapan PDRM menjalankan siasatan namun pihaknya berharap siasatan terhadap Azwanddin perlu dilakukan secara profesional.

“Pihak polis mengemukakan sebab-sebab kenapa Datuk Azwanddin ditahan reman, seperti mana polis maklumkan pada mahkamah hari ini, mereka memerlukan siasatan terperinci dan memerlukan laporan risikan berkenaan dengan diri Datuk Azwanddin.

“Kita sudah buat bantahan, tidak sepatutnya mengambil tempoh terlalu lama (empat hari) tetapi kita harap dalam tempoh empat hari ini sekiranya polis berjaya menyelesaikan segala proses dokumentasi, kenyataan dan sebagainya.

“Polis pada bila-bila masa saja boleh melepaskan beliau walaupun tidak cukup empat hari,” katanya ketika ditemui di Mahkamah Klang di sini hari ini.

Imran yang Ahli Dewan Undangan Sungai Panjang itu berkata, tempoh empat hari adalah tempoh yang dibenarkan mahkamah majistret tetapi pihaknya berharap perkara itu boleh selesai segera sebelum tempoh terbabit.

Pada 25 Disember lalu, ketika berucap pada perhimpunan aman ‘Keadilan Untukmu Adib dan Desakan Pecat Waytha Moorthy’ di Dataran Klang, Azwanddin dikatakan mengeluarkan kenyataan akan menyerang Balai Polis Klang jika pihak yang menyebabkan kematian Muhammad Adib Mohd Kassim tidak ditangkap.

Tindakan itu menimbulkan perasaan tidak senang penganjur perhimpunan aman itu, Gerakan Masyarakat Malaysia (GERAS), yang kecewa dengan kenyataan provokasi.

Malah, Pengerusi GERAS, Abu Bakar Mohamed, mengeluarkan kenyataan bahawa, Azwanddin tidak sepatutnya mengeluarkan kenyataan sebegitu memandangkan beliau sudah menegaskan tiada kenyataan provokasi boleh dikeluarkan membabitkan perhimpunan aman itu. – MalaysiaGazette

http://malaysiagazette.com/blog/2018/12/27/azwanddin-direman-4-hari/