Seorang bekas pembantu tokong didakwa di hadapan dua Majistret di sini, hari ini, atas tiga pertuduhan iaitu memiliki dan mengugut untuk menyebarkan gambar lucah seorang wanita selain memikat serta melakukan persetubuhan dengan kakak mangsa.
Seorang bekas pembantu tokong didakwa di hadapan dua Majistret di sini, hari ini, atas tiga pertuduhan iaitu memiliki dan mengugut untuk menyebarkan gambar lucah seorang wanita selain memikat serta melakukan persetubuhan dengan kakak mangsa.

PETALING JAYA – Seorang bekas pembantu tokong didakwa di hadapan dua Majistret di sini, hari ini, atas tiga pertuduhan iaitu memiliki dan mengugut untuk menyebarkan gambar lucah seorang wanita selain memikat serta melakukan persetubuhan dengan kakak mangsa.

Chang Ye Siong, 44, bagaimanapun mengaku tidak bersalah selepas kesemua pertuduhan ke atasnya dibacakan di hadapan Majistret Salamiah Salleh.

Mengikut pertuduhan, bapa kepada dua anak itu didakwa telah mengugut dan mendatangkan ketakutan terhadap seorang wanita warga tempatan berusia 34 tahun dengan cara mengugut untuk menyebarkan gambar bogelnya.

Kesalahan itu didakwa dilakukan di Hotel Sovotel Kota Damansara, di sini, pada September 2017 mengikut Seksyen 506 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara maksimum tujuh tahun atau denda atau kedua-duanya.

Bagi pertuduhan kedua, dia didakwa memiliki video lucah di dalam telefon bimbitnya yang dimuat naik untuk tujuan pengedaran di Pejabat Bahagian Siasatan Jenayah D11, Ibu Pejabat Polis Daerah Petaling Jaya, di sini, mengikut Seksyen 292 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara maksimum tiga tahun atau denda atau kedua-duanya.

Sementara itu, di hadapan Majistret Mohamad Ikhwan Mohd Nasir, lelaki itu turut mengaku tidak bersalah telah memikat kakak mangsa berusia 39 tahun yang telah bersuami dan melakukan persetubuhan dengan wanita itu.

Kesalahan itu didakwa dilakukan di Hotel Signature Setia Walk, Puchong, di sini, sekitar September 2018 mengikut Seksyen 498 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara maksimum 2 tahun atau denda atau kedua-duanya.

Mahkamah membenarkan tertuduh diikat jamin RM12,500 bagi ketiga-tiga pertuduhan berserta syarat tambahan melaporkan diri ke balai polis berhampiran sebulan sekali selain tidak dibenarkan mengganggu saksi pendakwaan.

Pendakwaan kes dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Alia Sumayyah Amran dan Mary Phoon Keat Mee manakala tertuduh diwakili peguam Tay Yi Kuan dan Mohd Syazwan Mohd Hassan bertindak sebagai peguam pemerhati bagi pihak mangsa.

Mahkamah menetapkan 29 Jan depan untuk sebutan semula kesemua kes.

— BERNAMA