Presiden Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM), Tan Sri Muhyiddin Yassin bercakap pada sidang media khas di Ibu Pejabat PPBM, Selangor. foto HAZROL ZAINAL, 24 DISEMBER 2018.

HARI ini bermula Perhimpunan Agung Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu). Perhimpunan kali kedua namun ia lebih bermakna selepas kemenangan Pakatan Harapan (PH) dalam PRU-14 baru-baru ini.

Presidennya, Tan Sri Muhyiddin Yassin dalam sesi temubual bersama wakil-wakil media menegaskan, penting perhimpunan kali ini bagi memantapkan roh perjuangan kepada ahli-ahlinya termasuk membantu menangani masalah rakyat dalam keadaan parti mereka sudah menjadi sebahagian daripada kerajaan.

Beliau menegaskan, pentingnya parti memenangi hati rakyat sebelum perhimpunan tahun depan yang menyaksikan pemilihan sambil memberi gambaran sudah tiba masanya untuk ‘berundur’ pada ketika itu.

MGF24122018_TEMUBUAL MUHYIDDIN YASSIN01
Presiden Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM), Tan Sri Muhyiddin Yassin ketika hadir pada sidang media khas di Ibu Pejabat PPBM, Selangor. foto HAZROL ZAINAL, 24 DISEMBER 2018.

Muhyiddin juga menyentuh pandangan mengenai dakwaan Bersatu tidak ubah seperti UMNO 2.0 dan isu ahli parti itu ‘melompat’ ke Bersatu.

SOALAN: Apakah matlamat perhimpunan Agung Bersatu yang akan diadakan kali ini?

MUHYIDDIN: Ini persidangan agung yang kedua tapi sebenarnya yang pertama di mana wakil-wakil yang datang ini sebenarnya wakil-wakil yang telah dipilih daripada semua bahagian yang telah pun bersidang. Kita menganggap ini sebagai satu daripada perhimpunan yang penting, lebih-lebih lagi ia diadakan selepas kita mengadakan Pilihan Raya Umum (PRU) dan Bersatu (Parti Pribumi Bersatu Malaysia) menjadi sebahagian daripada gabungan dalam PH dan berjaya menumbangkan kerajaan kleptoktrasi di bawah pimpinan Datuk Seri Najib Razak.

Sebab itu penting bagi kita mengambil peluang dalam perhimpunan pertama untuk menyatakan betapa kita perlu perkukuhkan Bersatu dan dengan usaha kita itu bersama kita mengukuhkan PH. Baik dalam sebuah parti ataupun sebuah kerajaan, kerana kita telah diberikan keyakinan kepercayaan oleh rakyat untuk menerajui negara dalam tempoh lima tahun yang akan datang.

Sebab itu, fokus yang mungkin akan diberikan tumpuan yang akan diberikan dalam perbahasan kita iaitu membahaskan ucapan penting daripada Tun (Dr. Mahathir Mohamad), pengerusi parti ialah bagaimana kita dapat mengukuhkan lagi parti, kita dapat memperkukuhkan penerimaan rakyat pada Bersatu itu agar luas dan bertambah besar dan disamping itu kita dapat memainkan peranan yang utama di dalam kerajaan kerana kita bukan dari sebuah parti politik tapi kita mendokong kerajaan PH.

Disebabkan itu pastilah antara perkara yang akan diberikan tumpuan adalah bagaimana hendak mengukuhkan kerajaan PH iaitu satu adalah menerusi kerjasama yang lebih rapat dan akrab dan persefahaman yang lebih mendalam antara semua komponen parti untuk bekerja sebagai satu pasukan yang kuat dan membantu supaya pimpinan kerajaan yang ada ini dapat melaksanakan semua agenda yang telah pun ditetapkan, iaitu apa yang terkandung dalam manifesto baik selepas 100 hari ataupun cadangan-cadangan untuk membuat transformasi dan reformasi, baik dalam pentadbiran dalam kerajaan peringkat Parlimen, penggubalan undang-undang baru..pemansuhan undang-undang lama dan juga tidak kurang penting adalah bagaimana kita nak memulihkan keadaan ekonomi negara kita, perkukuhkan sistem kewangan Malaysia dan yang paling utama ialah bagaimana kita nak membantu mengurangkan bebanan kos sara hidup yang sedang ditanggung oleh rakyat.

MGF24122018_TEMUBUAL MUHYIDDIN YASSIN02
Presiden Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM), Tan Sri Muhyiddin Yassin ketika hadir pada sidang media khas di Ibu Pejabat PPBM, Selangor. foto HAZROL ZAINAL, 24 DISEMBER 2018.

Kita peka tentang perkara itu kerana kita nak peringatkan kepada perwakilan yang datang daripada seluruh negara. Mereka mesti mewakili suara rakyat dan rakyat hari ini menuntut supaya kerajaan PH membantu menyelesaikan antara perkara yang pokok adalah seperti contoh bebanan kos sara hidup dari segi kenaikan harga barang-barang.

Selepas itu ialah soal kurangnya bentuk-bentuk bantuan subsidi, lepas itu adalah dari segi penurunan harga bahan-bahan komoditi utama getah, kelapa sawit dan bahan-bahan yang lain dan masalah dalam kalangan peneroka-peneroka kerana tidak ada bantuan daripada FELDA dan isu-isu yang bersoal yang dihadapi oleh rakyat biasa.

Jadi, mesej yang kita nak bawa dalam persidangan ini ialah apa langkah dan tindakan usaha yang boleh kerajaan dan kita sebagai parti lakukan untuk menangani isu-isu pokok yang sedang dihadapi oleh rakyat jelata.

SOALAN: Ada yang mengatakan bahawa perhimpuunan agung yang diadakan pada kali ini tidak ubah seperti UMNO 2.0? Jika dilabel seperti UMNO 2.0 ia dianggap sebagai satu penghinaan. Bagaimana Tan Sri melihat dakwaan itu?

MUHYIDDIN: Saya dah sebut berulang-ulang kali. Ini adalah Parti Pribumi Bersatu Malaysia. Namanya pun perlembagaannya pun dasar perjuangannya dijelaskan dalam perlembagaan itu. Tiada sebut pun UMNO dalam tu, tapi taulah saya pun bekas UMNO, Tun pun bekas UMNO, Mukhriz pun bekas UMNO tetapi kita sudah pun berhijrah meninggalkan perjuangan yang lampau yang kami lihat sekarang ini sudah lapuk, sudah tidak lagi memenuhi tuntutan asal nak membina nasib agama, bangsa dan negara yang sebenarnya sudah banyak kerosakan yang dilakukan.

MGF24122018_TEMUBUAL MUHYIDDIN YASSIN03
Presiden Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM), Tan Sri Muhyiddin Yassin bercakap pada sidang media khas di Ibu Pejabat PPBM, Selangor. foto HAZROL ZAINAL, 24 DISEMBER 2018.

Rasuah yang bertimbun-timbun dan isu-isu penyalahgunaan kuasa. Itu sebenarnya bukan UMNO asal Perlembagaan UMNO. Jadi, kita sudah berhijrah dan menubuhkan sebuah parti yang namanya Parti Pribumi Bersatu Malaysia. Walaupun wajahnya ada hampir-hampir terbayang-bayang dengan wajah-wajah filem lampau tetapi kami adalah perjuangan baru.

Asasnya sudah kukuh kerana sebahagian besar daripada kami berpengalaman. Jadi, kita tau apa masalah.

Kita tahu kelemahan-kelemahan dan kita telah bertekad dan berazam bila kita tubuhkan satu gerakan parti baru kita nak tentukan satu haluan baru. Lebih-lebih lagi bila kerajaan (PH) terpilih. Kita nak dah gunakan islah untuk membentuk masa depan Malaysia baharu. Maka, ini yang sedang kita tumpukan tetapi, tidak dapat dielak dan dinafikan bila hala tuju kita sudah begini rupa dan apa lagi sudah berkuasa dan rakyat tahu bila sudah ada kuasa kita boleh buat. Kalau tiada kuasa kita tak boleh buat apa kita nak buat.

Maka, ramai yang agak mula sedar. Kalau saya boleh sebutkan atau pun insaf bahawa sebahagian daripada mereka yang berjuang dalam UMNO dulu sudah tidak lagi boleh bertahan.

Mereka boleh nyatakan mungkin sebahagian hasrat untuk menyertai kita bukan nak jadi apa-apa, tapi nak bersama-sama dengan saf baharu yang kita bentuk dalam Bersatu.

Jadi, dasarnya kita dah nyatakan bahawa dasar kita dasar terbuka. Siapa saja yang berminat mereka boleh menyertai asalkan patuh dengan perlembagaan, setia dengan pimpinan dan parti, sanggup berjuang untuk masa depan Malaysia yang lebih baik maka mereka boleh menyertai kita. Sebab itu dalam kita sedia menerima, kita juga ada dasar penerimaan ahli supaya orang tak label kita UMNO 2.0.

MGF24122018_TEMUBUAL MUHYIDDIN YASSIN06
Presiden Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM), Tan Sri Muhyiddin Yassin bercakap pada sidang media khas di Ibu Pejabat PPBM, Selangor. foto HAZROL ZAINAL, 24 DISEMBER 2018.

Dia punya cara pun berbeza. Kita mengamalkan sikap ketelusan, kita menentang rasuah, UMNO tak pernah kata mereka tentang rasuah. Kita menentang rasuah daripada pangkal sampai hujung. Kita menentukan satu kerajaan dengan tadbir urus yang baik.

Ini kita sebutkan dan laksana dalam kerajaan dan pelbagai keputusan yang dibuat dalam Kabinet yang saya tahu telah dibuat untuk kita ikut apa yang telah disebutkan tadi iaitu telus, dan tidak melakukan rasuah. Penentangan terhadap rasuah, tindakan-tindakan yang kita sedang ambil terhadap kes-kes rasuah itu telah nyata. Jadi, inilah hala tuju kita. Jadi, sebab itu saya tak bimbang orang nak jenamakan apa pun akhirnya mereka sedar bahawa Bersatu dalam Pakatan Harapan. Bersatu dan parti lain berjuang untuk masa depan Malaysia yang lebih baik.

SOALAN: Ada sesetengah pemimpin UMNO yang meninggalkan parti ada kes rasuah dan mereka masuk Bersatu kerana mahu menyelamatkan diri. Apa komen Tan Sri?

MUHYIDDIN: Mereka tidak akan terselamat. Baik mereka di dalam Bersatu pun kalau mereka lakukan rasuah apatah lagi mereka di luar sana nak cari tempat untuk berlindung supaya mereka tidak diambil tindakan.

MGF24122018_TEMUBUAL MUHYIDDIN YASSIN05 (1)
Presiden Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM), Tan Sri Muhyiddin Yassin bercakap pada sidang media khas di Ibu Pejabat PPBM, Selangor. foto HAZROL ZAINAL, 24 DISEMBER 2018.

Itu bagi saya satu kesilapan besar bagi orang yang terbabit. Pasal ini bukan tempat untuk mereka dapatkan perlindungan. Kalau mereka tahu mereka lakukan kesalahan dan kami dah jelaskan kalau mereka nak masuk pun walaupun mereka pemimpin UMNO yang lepas dan isytihar keluar menjadi bebas dan lepas itu nak masuk parti kita, kita saring.

Proses saringan bersama SPRM (Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia) itu sahaja sudah satu tapisan. Lepas itu polis kalau ada kes-kes jenayah dan sebagainya, lepas itu saringan politik. Kalau ada perkara yang mereka lakukan tapi dianggap tak sesuai dengan perjuangan kita, itu adalah hak kita menolak permohonan mereka.

Jadi, saya nak beri jaminan ini kita akan lakukan secara bersungguh-sungguh. Sebab itu siapa yang isytihar boleh isytihar tapi tak semestinya mereka diterima masuk lebih-lebih lagi kalau kita tahu dah terpalit belum lagi dianggap bersalah, terpalit pun cukuplah, cukup. Tidak payahlah. Baik kita cari org yang tak terpalit, yang tidak melakukan apa-apa kalau mereka nak bersama. Ini lebih kita utamakan.

SOALAN: Kalau isu Ahli Parlimen UMNO nak masuk Bersatu, Khalid (Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Mohamed Khalid Nordin) cakap ini virus semua dipindahkan dari UMNO ke Bersatu. Boleh komen apa-apa tak?

MUHYIDDIN: Dia (Mohamed Khaled) boleh kata apa-apa. Kalau Khalid nak masuk pun ok, tiada apa-apa masalah. Saya fikir itu tak jadi satu masalah. Mungkin satu pihak mungkin jenamakan macam itu. Pasal dia tak boleh buat apa-apa dengan ahli UMNO yang meninggalkan mereka. Tambahan pula 10,000, 100,000 pasal tak yakin dengan perjuangan pemimpin UMNO sekarang.

Melihat pemimpin UMNO yang semakin lepa, terpalit dengan macam-macam tuduhan dah bertukar kepimpinan pun, terpalit pulak dengan masalah lain. Jadi, saya tak fikir kerana sebab itu, kalau orang itu betul-betul waras walaupun mereka ahli UMNO dan bukan pemimpin, mereka lihat, apa dah jadi dengan UMNO?

MGF24122018_TEMUBUAL MUHYIDDIN YASSIN07
Presiden Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM), Tan Sri Muhyiddin Yassin bercakap pada sidang media khas di Ibu Pejabat PPBM, Selangor. foto HAZROL ZAINAL, 24 DISEMBER 2018.

Dan kalau mereka kata mereka tak nak UMNO, kita tak boleh kata UMNO 2.0 nak masuk ke kita. Dia ada pilihan nak masuk DAP boleh, PKR boleh, masuk PAN boleh tapi kalau mereka kata nak masuk dgn kita, kita tak boleh sekat.. kalau antara mereka ahli biasa, tak ada masalah pun, ramai saja dah masuk. Tapi, kalau pemimpin, ada sedikit dacing di Sabah dah ratusan pemimpin masuk (Bersatu). Tapi yang beratus ribu yang lain itu, mereka perlukan kepimpinan. Kita lihat hari ini yang menyediakan kepimpinan adalah kita. Adakah kita nak sekat dan halang? Lebih baik kita bawa orang macam ini.

Dalam sejarah perjuangan Rasulullah SAW, ada orang Muhajirin, Ansar, jahiliah. Bila mereka sedar Islam agama yang benar, maka mereka masuklah. Ini sejarah Rasulullah SAW dululah. Zaman sekarang ini pun, ada org silap. Ikut pemimpin tak betul, lepas tu dia lari.

SOALAN: Kemasukan ahli-ahli UMNO ini, menimbulkan rasa kurang senang PH. Jadi macam mana Bersatu cuba selesaikan?

MUHYIDDIN: Kurang senang biasalah. Cemburu sikit pun ada. Saya dengar kenyataan (Lim) Kit Siang. Kalau ada ahli UMNO nak masuk DAP pun kami terima. Cuba lihat balik kenyataan itu. Kenyataan Mat Sabu yang mengalu-alukan perkara sama. Pemimpin PKR walau ada yang cakap tak terima, tapi ada rakan-rakan mereka yang nak terima kedatangan ahli UMNO.

Kalau dilihat dalam konteks yang lebih luas, ini bukan soal Bersatu sahaja. Ini soal PH. Kalau mereka penuhi kriteria yang ditetapkan dan dah lalui proses saringan, serta agak layak, tiada sebab untuk ketepikan mereka. Pasal mereka boleh tambah kekuatan kita. Siapa kata PH sudah kuat? boleh tanya presiden kita.

Saya kata, kami tak kuat lagi dan lepas ini ada orang nak sokong, mereka boleh masuk. Tidak kira sesiapa pun. Semalam, saya dengar 2,000 orang Sabah serah borang untuk masuk Bersatu. Walaupun di Sabah belum ada cawangan lagi. Saya tak boleh kata tak boleh sebab perjuangan ada di mana-mana sahaja.

Jadi, atas dasar itu, tak mengapalah. Mereka mungkin rasa dengan kemasukan itu memperkukuhkan Bersatu dan Tun Mahathir dan Muhyiddin. Maka, itu akan jadi satu persaingan dengan pimpinan lain-lain. Anwar (Datuk Seri Anwar Ibrahim) mungkin tercabar. Tapi, kita ada persefahaman antara parti dalam PH. Ini akan dipandang sebagai satu benda positif.

SOALAN: Ada kenyataan dari PAS menyatakan PH hanya akan bertahan dalam masa lima tahun. Apa komen Tan Sri tentang itu?

MUHYIDDIN: Biasalah dia (Pas) pembangkang. Dia akan jadi pembangkang selama-lamanya. Saya dah cakap saya tak akan jadi pembangkang lama. Alhamdulillah, Allah bagi laluan. Pas iri hati, kita pernah runding dengan mereka, supaya sertai kita, mereka tak mahu. Kita pun perjuangkan Islam. Kalau mereka andaikan begitu, benda tu tak tepat. Kita lihat realiti di mana UMNO sekarang? Di mana BN (Barisan Nasional) sekarang? Tinggal nama sahaja.

Daripada berapa puluh anggota, tinggal dua, tiga sahaja. Itu pun tak bermaya. UMNO dah berpecah belah. Daripada saki baki yang ada tu, dengan keadaan Pas dengan keadaan PH sekarang, Pas tidak akan menang. Kelebihan PH mempertahankan kedudukan itu adalah besar. Itu secara perbandinganlah. Dengan sokongan orang ramai, kita akan terus berkuasa.

SOALAN: Kepimpinan tertinggi PPBM yang terbaru diisi golongan berusia. Bagaimanakah dengan masa depan Bersatu? Adakah perkara ini dibincangkan dalam Perhimpunan Agung Bersatu nanti?

MUHYIDDIN: Perkara ini sedang berlaku sekarang. Kita memang tahu Tun dah berusia 90an saya juga 71, Mukhriz kini, 54. Tapi, kita banyak pemimpin-pemimpin muda dalam PPBM, Srikandi, PAN, kita ada ramai lagi yang akan bersama kita. Dalam Pakatan Harapan sendiri, kita juga sedang mencorak pemimpin-pemimpin muda, contohnya yang ada sekarang. Syed Saddiq, walaupun dia baru menyertai politik, tapi kita beri dia peluang. Dia kini ada dalam Majlis Tertinggi PH. Saya percayakan dia, kita dah uji dia semasa pilihan raya umum, dia menang dengan majoriti besar. Kita juga bagi dia jadi menteri. Dia semakin bijak menggalas tanggungjawab sebagai Menteri Belia dan Sukan. Itu satu contoh. Ramai lagi yang lain ada sebenarnya. Mereka belum lagi diberi jawatan. Tetapi pada masa depan mereka akan jadi pelapis. Pimpinan pelapis memang penting pasal kita nak parti ada tenaga baharu. Maksud saya, masa depan untuk pimpinan pelapis ini memang penting pasal kita mahu parti kita menjana kelangsungan yang sentiasa baru. Jadi, pemimpin-pemimpin lama akan berundur, sampai masa saya akan berundur, Tun akan berundur dan yang muda akan mengambil alih

SOALAN: Kita lihat lebih 80,000 orang datang perhimpunan ICERD. Bagaimana Bersatu boleh beri reaksi terhadap sentimen ini?

MUHYIDDIN: Saya tidak fikir itu jadi satu ukuran. Tapi, yang jadi ukuran ialah pilihan raya. Apa yang lebih penting sokongan di ICERD atau pilihan raya?

SOALAN: Adakah Tan Sri yakin bahawa Bersatu boleh menggantikan UMNO dan menyaingi Pas untuk mendapat sokongan undi Melayu?

MUHYIDDIN: Kita tak menggantikan UMNO, orang asyik sebutkan begitu. Saya sebutkan berulang-ulang sebagai pengasas. Itu saya nak jelaskan, UMNO agaknya mungkin akan terus kekal.

Mungkin cawangan kecil-kecil saja, kecuali parti itu akan terbubar dari segi teknikal dan sebagainya. Jadi, bagaimana pula kita nak mengganti. Disebabkan itu, apa pun situasi dan keadaan kita akan jalan atas dasar yang kita telah tetapkan dabn tidak akan berubah. Apa yang kita nak buat telah pun diputuskan.

SOALAN: Ada akar umbi UMNO berkata apabila berlaku penghijrahan pemimpin mereka sedangkan mereka tidak menunjukkan parti itu masih lagi kuat?

MUHYIDDIN: Itu saya tidak mahu nyatakan pandangan saya tapi, yang penting adalah sudah ada petanda sebahagian daripada mereka-mereka yang dahulunya menyokong UMNO yang sudah insaf dan sedar dan mereka sama-sama nak berjuang kerana kita mengamalkan dasar parti terbuka boleh kita terima kecuali pemimpin-pemimpin mereka yang harus melalui proses saringan.

Tidak benar kalau dikatakan hanya pemimpin-pemimpin di atas. Kita biasa fokus yang 100 orang 20 atau 30 orang, kita tak ingat yang bawah ini lebih ramai sebenarnya dan ahli yang ramai ini sebenarnya sudah menyertai kita.

Yang ini orang tidak beri perhatian sebab mereka adalah orang biasa. Jadi, ini satu perkembangan yang sihat. Saya tidak kata ambil orang UMNO sahaja tapi orang lain pun kita ambil bersama-sama. Asalkan mereka patuh pada perlembagaan parti dan taat setia kepada pemimpin dan dia ikut apa yang kita laksanakan bagi saya ia okay.

SOALAN: Selepas PRU lalu ramai pemimpin UMNO dari negeri-negeri masuk Bersatu namun masih kurang di negeri Pantai Timur. Jadi adakah perhimpunan agung nanti perkara ini akan diberi perhatian?

MUHYIDDIN: Wakil dari Kelantan, Terengganu, Pahang dan Perlis mereka akan bawa mesej yang akan kita beri perhatian, apakah kelemahan-kelemahan kita di sana dan ini bukan sahaja dari Bersatu tapi juga parti-parti yang lain.

Macam Amanah ada di sana, PKR pun ada. Itu mungkin kita akan gunakan sebagai bahan maklumat bagaimana kita nak perkukuhkan kedudukan kita untuk masa hadapan. Jadi kira tidak boleh nak andaikan bahawa negeri itu kekal dengan Pas, pasal dah ada sejarah dulu pun telah bertukar, kerajaan bertukar, parti pun bertukar.

Yang penting mungkin kerana kita baru, jadi ramai yang belum kenal kita dan kita pun tak kukuh pasal ahli kita tak ramai. Itu yang berlaku di Kelantan dan Terengganu. Tapi untuk masa depan mungkin keadaan kita akan bertambah kukuh jadi itu akan mempengaruhi pandangan mereka di masa hadapan. – MalaysiaGazette