HC Chan
Ketua Pegawai Eksekutif Kompleks Beli-belah Sunway dan Taman Tema, Hc Chan bercakap kepada media pada pratonton media "The Amazing Sunway City Challenge" di Sunway Resort & Spa, Bandar Sunway, Petaling Jaya, Selangor. foto AFIQ RAZALI, 28 DISEMBER 2018.

PETALING JAYA – Kumpulan Sunway dijangka menghadapi tahun mencabar dan kompetitif pada tahun depan berikutan perkembangan pesat pasaran e-dagang.

Ketua Pegawai Eksekutif Pusat Beli Belah Sunway dan Taman Tema, HC Chan, berkata, pihaknya mempunyai pendekatan untuk menghadapi cabaran dunia perniagaan e-dagang.

Menurut beliau, Sunway bergerak aktif dalam pelbagai teknologi selain menerusi pendekatan inovatif dengan menjemput selebriti berpengaruh Asia untuk menembusi pasaran Asia menerusi promosi produk yang menarik.

Ditanya mengenai cabaran yang dihadapi Pusat membeli Belah dibawah kendalian Sunway City, katanya, penyediaan lot perniagaan komersial merupakan cabaran yang harus dihadapi dalam era e-dagang.

“Tapi kami yakin akan mengharungi dan mengatasi cabaran ini sebab kami sudah lama mempunyai rekod meneroka dunia perniagaan, apatah lagi sebagai peneraju utama sudah mula melaksanakan teknolgi digital sejak beberapa tahun lalu.

“Dalam perkara ini, tahun 2018 telah dilalui dengan pelbagai cabaran yang juga membawa kejayaan dalam perniagaan dan pelaburan melibatkan Sunway.

“Bagaimanapun, kami juga menjangkakan cabaran lebih kompetitif sedang menanti tahun hadapan, tetapi yakin mampu mencapai sasaran perniagaan kami nanti,” katanya kepada pemberita selepas Program The Amazing Sunway City Challenge.

Chan berkata, Kumpulan Sunway akan memperkenalkan lebih banyak produk baharu pada tahun depan sejajar dengan perkembanga dunia teknologi selain demi keselesaan dan kepuasan pelancong.

Menyentuh mengenai sentimen pasaran dalam sektor peruncitan, beliau mengakui pihaknya perlu terus bersaing sebagai peneraju pasaran.

“Saingan memang wujud, kami berada pada kedudukan terbaik untuk memperkukuhkan dan meningkatkan nilai pasaran dan saham kami dalam dunia perniagaan yang kian mencabar ini.

“Saya ingin berkongsi di sini bahawa semasa musim Hari Natal, pusat membeli belah kami di Sunway Pyramid dan VelloCity KL, merekodkan kunjungan paling tertinggi pada hari khusus itu.

“Kami harap menjelang sambutan Tahun Baharu 2019 hujung minggu ini, kami dapat meneruskan rekod itu nanti.

“Selain itu, kami juga menambah sayap perniagaan pada tahun hadapan menerusi pembukaan pusat membeli belah Sunway yang ketujuh di Sunway Iskandar Johor Baharu dikenali sebagai Sunway Big Box Village pada Disember 2019,” katanya.- MalaysiaGazette