Temubual bersama, Pemangku Pengerusi Jawatankuasa Perumahan dan Kerajaan Tempatan Negeri Johor, Datuk Md. Jais Sarday pada Ekspo Johor Berkemajuan di Kota Iskandar, Johor. foto HAZROL ZAINAL, 13 OKTOBER 2017.

KUALA LUMPUR – UMNO perlu menitikberatkan tiga agenda penting dalam perjuangan parti itu jika mahu kembali bangkit.

Menurut Bendahari Badan Perhubungan UMNO Johor, Datuk Md Jais Sarday, tiga agenda utama itu ialah menunjukkan kepada rakyat bahawa UMNO adalah pembangkang yang berwibawa baik di Parlimen mahupun di Dewan Undangan Negeri (DUN).

Selain itu, katanya, UMNO harus memulakan pendoktrinan soal perjuangan dan penjenamaan semula Barisan Nasional (BN) dengan tawaran atau kontrak sosial baharu untuk sekurang-kurangnya 50 tahun akan datang.

“Tiga agenda ini amat penting untuk UMNO kembali dipandang oleh rakyat dan bukan hanya di kalangan ahli UMNO sahaja.

“Kita perlu tunjukkan kepada rakyat, kita adalah pembangkang berwibawa dan kita sepatutnya mengambil kesempatan ini kerana kita ada banyak pengalaman sebagai kerajaan.

“Kita juga perlu memulakan pendoktrin soal perjuangan kepada ahli parti dengan menjelaskan mengenai ideologi parti, biar mereka faham soal sejarah, kontrak sosial dan nilai integriti kepimpinan,” katanya dalam kenyataan kepada media di sini, semalam.

Md Jais memberi contoh, doktrin Pas adalah memperjuangkan Islam, manakala doktrin DAP dengan Malaysian Malaysianya dan doktrin PKR pula adalah reformasi.

Katanya, doktrin UMNO adalah demi agama dan suara rakyat.

“Berkaitan penjenamaan semula BN, kepimpinan UMNO perlu berani sebagaimana Tunku Abdul Rahman lakukan dahulu iaitu memberi kerakyatan kepada bukan Melayu dan keluarkan Singapura dari Malaysia.

“Kita perlu sedar politik Malaysia tidak boleh lari dari soal kaum, sebab itu juga adalah asasnya sejak dulu.

“Kita yang buat keputusan untuk bertoleransi. Jadi, ‘new-branding’ BN mungkin tukar nama seperti mana Perikatan kepada BN,” ujarnya.

Beliau berkata, UMNO tidak akan bangkit seperti dulu tanpa sokongan kaum lain dan ini yang perlu disedari oleh pimpinan dengan memperkukuhkan parti, bukan menyibuk kepada soal mahu bergabung dengan mana-mana parti.

“Bila UMNO, pasti orang lain atau parti lain akan datang dengan sendirinya untuk bersama kita,” katanya. – MalaysiaGazette