Fuzi Harun
Ketua Polis Negara, Tan Sri Mohamad Fuzi Harun. foto FAREEZ FADZIL, 16 OKTOBER 2018

KUALA LUMPUR – Seramai 26 suspek dalam kes rusuhan kuil Subang Jaya yang mengakibatkan kematian anggota bomba Muhammad Adib Mohd Kassim, 24, telah didakwa di mahkamah.

Ketua Polis Negara (KPN), Tan Sri Mohamad Fuzi Harun berkata,  secara keseluruhan seramai 108 suspek telah ditangkap polis berhubung kejadian yang berlaku pada 27 November lalu di Subang Jaya.

“Bagaimanapun kita telah menyiarkan gambar 66 orang yang dikehendaki polis untuk tampil memberi keterangan dalam siasatan kes itu.

“Namun hanya 10 orang sahaja tampil setakat ini manakala selebihnya iaitu 56 orang masih belum tampil kepada polis,” katanya kepada pemberita dalam sidang media di Pusat Latihan Polis (Pulapol) di sini.

Beliau bersama timbalannya, Tan Sri Noor Rashid Ibrahim hadir pada Majlis Raikan Cinta Raja Sehari yang membabitkan 20 pasangan warga Polis DiRaja Malaysia di Dewan Pengaman di sini.

Seramai ima orang kadi Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan menikahkan pasangan terbabit di Masjid Pulapol pagi tadi.

Mengulas mengenai pertuduhan suspek dan pegawai One City, Mohamad Fuzi berkata: “Kita akan caj yang selebihnya dalam tempoh seminggu lagi iaitu minggu hadapan bergantung kepada arahan dari Timbalan Pendakwa Raya sama ada mahu didakwa atau sebaliknya.

“Sekarang macam macam spekulasi dan tuduhan disebarkan berkaitan kes rusuhan dan kematian Adib. saya menasihatkan orang ramai supaya bersabar dan kita akan selesaikan siasatan,” katanya.- MalaysiaGazette