Dr. Mahathir Mohamad

PUTRAJAYA – Tun Dr Mahathir Mohamad mahu orang Melayu dan juga bumiputera lain berpegang kepada kebenaran.

Perdana Menteri berkata, meletak kesalahan kepada orang lain memang sedap tetapi mereka tidak akan mebetulkan diri sendiri untuk menyelesaikan masalah.

Sebaliknya Pengerusi Parti Peribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) itu berkata, bagi yang ikhlas dan jujur pembetulan perlu dibuat jika jelas kesalahan datang kerana diri sendiri.

“Kita berkuasa ke atas diri kita, tidak ke atas orang lain. Saya, tidak ingin sebut di sini apakah kesalahan kita.

“Tetapi kita perlu akui bahawa banyak sudah tindakan yang dibuat untuk memperbaiki prestasi kita oleh kerajaan tetapi kejayaan amatlah menyedihkan.

“Sebabnya ialah sambutan oleh kita tidak seperti dirancang dan diharapkan. Kerajaan boleh adakan dasar dan layanan kepada kita tetapi jika sambutan oleh kita masih seperti dahulu, hasilnya akan menjadi sama dan mengecewakan,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Perhimpunan Agung Tahunan Bersatu kali kedua di sini malam ini.

Turut hadir Presiden Bersatu, Tan Sri Muhyiddin Yassin, timbalannya, Datuk Seri Mukhriz Mahathir, Ketua Angkatan Bersatu Anak Muda (Armada), Syed Saddiq Syed Abdul Rahman dan Ketua Srikandi Bersatu, Datuk Seri Rina Mohd. Harun.

Seramai 1,210 perwakilan hadir pada perhimpunan selama tiga hari yang bermula semalam diadakan di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya. – MalaysiaGazette