Pengerusi Parti Pribumi Bersatu Malaysia, Tun Dr. Mahathir Mohamad bersama Presiden Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM), Tan Sri Muhyiddin Yassin dan timbalannya, Datuk Seri Mukhriz Mahathi melaungkan slogan bersatu selepas menyanyikan lagu Perjuangan Kita pada Perhimpunan Agung Tahunan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM) 2018 di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC), Putrajaya. foto HAZROL ZAINAL, 29 DISEMBER 2018.

PUTRAJAYA – Bekas pemimpin UMNO yang diterima menyertai Parti Peribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) tidak akan dibenarkan memegang jawatan dalam parti itu sehingga Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15).

Pengerusi Bersatu, Tun Dr Mahathir yang juga Perdana Menteri berkata, tempoh yang lama itu merupakan ujian keikhlasan dan ia tidak boleh dipercepatkan.

Tegasnya, selepas itu hanya jika betul-betul ikhlas apabila sudah membuang budaya UMNO, barulah pemimpin boleh diterima untuk memegang jawatan.

“Ramai yang tidak senang melihat penerimaan bekas ahli UMNO oleh Bersatu. Mereka takut bekas-bekas ini akan membawa masuk budaya UMNO.

“Bersatu tidak mudah terima mereka dan ada syarat. Mereka mesti keluar dari UMNO dan menjadi ahli bebas yang secara ikhlas sokong Pakatan Harapan dan Bersatu.

“Tidak akan ada penerimaan oleh Bersatu sebagai satu kumpulan bekas UMNO dan hanya akan diterima sebagai individu bebas serta ekod akan dikaji dengan teliti,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika  menyampaikan ucapan dasar pada Perhimpunan Agung Tahunan (PAT) Bersatu kali kedua di sini malam ini.

Turut hadir Presiden Bersatu, Tan Sri Muhyiddin Yassin, timbalannya, Datuk Seri Mukhriz Mahathir, Ketua Angkatan Bersatu Anak Muda (Armada), Syed Saddiq Syed Abdul Rahman dan Ketua Srikandi Bersatu, Datuk Seri Rina Mohd. Harun.

Seramai 1,210 perwakilan hadir pada perhimpunan selama tiga hari yang bermula semalam diadakan di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya.

Mengulas lanjut, Dr Mahathir turut menyakinkan perwakilan bahawa Bersatu akan menentukan bekas pemimpin UMNO tidak diberi peluang mengembang fahaman dan cara-cara mereka iaitu cara bekas parti mereka.

Tegas Ahli Parlimen Langkawi itu, ini kerana Bersatu masih bersih dan parti itu akan menentukan ia kekal bersih pada masa akan datang.

“Yang akan bertukar ialah bekas parti lain dan mereka akan serap budaya kita serta mereka akan bekerjasama dengan kita.

“Dengan itu kita akan jadi pelindung kepada orang Melayu iaitu pelindung sementara kerana pelindung yang sebenar ialah kita sendiri.

“Lindungan bagi kita akan terhasil jika kita tidak miskin. Selagi kita miskin kita tidak akan berasa selamat. Bukan politik, bukan kuasa politik, bukan parti politik yang boleh melindungi kita.

“Kita sudah lihat bagaimana parti politik kita yang terkenal kekuatannya tetapi parti politik inilah yang meletak kita dalam keadaan amat bahaya,” katanya. – MalaysiaGazette