Azwanddin hampir tersemban ke tanah ketika turun dari trak polis semasa hendak dihadapkan ke Mahkamah Majistret Klang pagi tadi.

SHAH ALAM – Presiden Pertubuhan Jaringan Melayu Malaysia Datuk Azwanddin Hamzah yang direman sejak Khamis lepas telah dibebaskan semalam dan polis telah menyerahkan kertas siasatan kepada pejabat timbalan pendakwaraya untuk tindakan lanjut.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Selangor SAC Fadzil Ahmat berkata Azwanddin dibebaskan tengah hari semalam dengan jaminan polis.

Polis sedang menunggu arahan seterusnya daripada pejabat timbalan pendakwaraya, katanya ketika dihubungi di sini hari ini.

Pada Khamis lepas, Mahkamah Majistret Klang mengeluarkan perintah tahanan reman selama 4 hari terhadap Azwanddin bagi membantu siasatan menurut Seksyen 506 Kanun Keseksaan kerana melakukan ugutan jenayah.

Pada perhimpunan “Keadilan Untukmu Adib dan Desakan Pecat Waytha Moothy” anjuran Gerakan Rakyat Malaysia (Geras) di Dataran Seni, Klang dekat sini Selasa lepas, Azwanddin dalam ucapannya mengeluarkan kenyataan provokasi antara lain mengugut untuk menyerang balai polis jika pihak yang terlibat dalam kematian Muhammad Adib Mohd Kassim tidak ditangkap.

Adib yang bertugas di balai bomba Subang Jaya meninggal dunia pada 17 Disember lalu di Institut Jantung Negara, selepas bertarung nyawa kira-kira 3 minggu susulan kecederaan parah yang dialami akibat diserang kumpulan perusuh dalam insiden rusuhan di Kuil Sri Maha Mariamman, USJ 25, Subang Jaya bulan lepas.

Sementara itu, peguam Azwanddin, Datuk Imran Tamrin ketika dihubungi berkata anak guamnya dibebaskan semalam pada kira-kira 1.15 tengah hari di Ibu Pejabat Polis Klang Utara.

“Kini kami masih menunggu arahan lanjut daripada pihak berkuasa berhubung kes melibatkan Azwanddin,” katanya.- BERNAMA