Najib Razak

KUALA LUMPUR – Bekas perdana menteri, Datuk Seri Najib Razak membayangkan cabaran getir yang akan dihadapi oleh kerajaan Pakatan Harapan (PH) untuk tahun 2019.

Menerusi Facebook, ahli Parlimen Pekan itu menggariskan beberapa perkara yang sekarang ini dihadapi oleh kerajaan dan akan terus ditempoh pada tahun depan.

Antara perkara itu, katanya, kesan kejatuhan mata wang dengan rezab yang berkurangan serta masalah terhadap pelaburan asing.

“Bukan sahaja hal berkaitan ekonomi negara yang menjadi kebimbangan rakyat tetapi juga soal perpaduan kaum ekoran daripada insiden rusuhan di Kuil Sri Mariaman di Seafield yang lalu.

“Tahun 2019 mungkin lebih mencabar daripada segi pengurusan ekonomi kerana rata-rata rakyat mengeluh terhadap janji-janji yang belum tertunai oleh kerajaan PH,” katanya menerusi laman sosialnya hari ini.

Menurut Najib lagi, rakyat semakin terbeban dengan peningkatan kos sara hidup dan ia merupakan tanggungjawab kerajaan untuk mengatasinya.

Malah, masalah kehilangan pekerjaan oleh sebahagian besar pekerja pada ketika ini menjadi salah satu daripada kebimbangan yang perlu diambil berat oleh kerajaan agar tidak terus menggusarkan rakyat.

“Bagaimanapun saya berharap dan mendoakan yang terbaik untuk rakyat Malaysia pada tahun hadapan.

“Marilah kita bekerjasama untuk meningkatkan lagi keaharmonian dan kestabilan negara kita,” ujarnya.

Dalam pada itu, Najib turut melahirkan rasa terkilan ekoran dasar transformasi nasional yang dilhamkan olehnya kerana tidak dapat dilaksanakan untuk kebajikan rakyat.

Meskipun kata beliau, keberhasilan terhadap perkara itu pernah dirasai sebelum ini namun ia tidak lagi diteruskan oleh kerajaan ketika ini.

Justeru, beliau berharap agar rakyat Malaysia terus cekal dan tabah dalam menghadapi cabaran yang mendatang. – MalaysiaGazette