AirAsia

SIBU – Penerbangan langsung pertama kendalian AirAsia bagi laluan Kota Kinabalu-Sibu- Kota Kinabalu berjaya mendarat dan berlepas di Lapangan Terbang Sibu pagi ini.

Pengurus Lapangan Terbang Sibu, Zainuddin Abu Nasir, berkata penerbangan Kota Kinabalu – Sibu itu yang menggunakan pesawat Airbus 320N (A320neo) dan membawa 78 penumpang, berlepas dari Lapangan Terbang Antarabangsa Kota Kinabalu pada 6 pagi dan mendarat di Lapangan Terbang Sibu pada 7.05 pagi.

Penerbangan sektor Sibu – Kota Kinabalu pula yang mengambil masa selama 1 jam 40 minit menggunakan pesawat sama dengan 139 penumpang, berlepas dari Lapangan Terbang Sibu pada 7.45 pagi dan tiba Lapangan Terbang Antarabangsa Kota Kinabalu pada 8.25 pagi.

Beliau berkata kekerapan penerbangan terus antara kedua-dua sektor berkenaan ialah dua kali sehari iaitu pada waktu pagi dan malam. Pesawat Airbus 32N (320neo) mempunyai kapasiti tempat duduk seramai 180 orang.

“Tambahan penerbangan baharu ini tidak menjejaskan kemampuan Malaysia Airport Berhad (MAB) Sibu yang mengendalikan 64 pergerakan sehari secara purata. Kita masih di bawah kapasiti dan mampu menampung tambahan pendaratan pesawat hingga jenis Airbus 330,” katanya kepada Bernama di sini hari ini.

Beliau berkata, operasi harian Lapangan Terbang Sibu bermula 6 pagi hingga 10 malam, namun boleh dilanjutkan sehingga tengah malam jika terdapat keperluan, seperti lencongan disebabkan cuaca buruk dari lapangan terbang lain dan kelewatan pesawat kerana masalah teknikal.

November tahun lepas, Kementerian Pengangkutan mengumumkan AirAsia mengambil alih laluan Kota Kinabalu (KK)-Sibu dan KK-Bintulu dari MASwings Sdn Bhd bermula bulan ini.

Menteri Pengangkutan Anthony Loke Siew Fook dilaporkan berkata, selepas mendapat kelulusan daripada kabinet, kontrak Perkhidmatan Udara Luar Bandar (RAS) bersama MASwings yang sepatutnya berakhir pada tahun 2024. ditamatkan.

Ini sekali gus dapat membantu kerajaan menjimatkan perbelanjaan sehingga RM20 juta bagi kedua-dua laluan dari tahun 2020 dan tahun seterusnya.

— BERNAMA