Zuraida Kamaruddin
Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Zuraida Kamaruddin

KUALA LUMPUR – Pesalah vandalisme dan mereka yang membuang sampah merata-rata perlu diberikan pengajaran sewajarnya supaya tidak mengulangi kesilapan yang sama, kata Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Zuraida Kamaruddin.

“Kementerian menghargai pendapat masyarakat umum dalam menambahbaik perkhidmatan dan memastikan usaha untuk mewujudkan komuniti dan generasi mampan tercapai, dalam usaha untuk membangunkan komuniti secara holistik,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Beliau mengulas cadangan Timbalan Pengerusi Kanan Yayasan Pencegahan Jenayah Malaysia (MCPF), Tan Sri Lee Lam Thye yang mahukan pesalah vandalisme dikenakan denda dan kerja komuniti.

Beberapa hari lalu, Lee mencadangkan kepada kerajaan supaya memperkenalkan Akta Vandalisme dengan mewajibkan hukuman khidmat masyarakat manakala hukuman rotan pula dikenakan kepada pesalah tegar.

Pada masa ini pesalah dikenakan hukuman mengikut Seksyen 427 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan bahawa sesiapa yang melakukan kerosakan yang menyebabkan kerugian bernilai RM25 ke atas boleh dipenjara antara satu hingga lima tahun atau dengan denda atau kedua-duanya.

Beliau berkata langkah itu boleh dilaksanakan kerana Perkara 6 Perlembagaan Persekutuan yang melarang pekerjaaan secara paksa, telah dipinda beberapa tahun lepas.

Tambahnya, meskipun tahap vandalisme di negara ini tidak begitu membimbangkan, namun tahap kerosakan kemudahan awam adalah serius dan menjadi ancaman sosial sekali gus mewajarkan undang-undang ketat untuk menangani masalah itu.-MalaysiaGazette