Maszlee Malik
Menteri Pendidikan Malaysia, Dr. Maszlee Malik beramah mesra dengan murid-murid pendidikan khas pada sesi pertama persekolahan bagi sesi 2019 di Sekolah Kebangsaan Presint 14 (1) Putrajaya. foto SYAFIQ AMBAK, 02 JANUARI 2019.

PUTRAJAYA – Pelaksanaan pengambilan 60 peratus pelajar ke Sekolah Berasrama Penuh (SBP) daripada golongan isi rumah berpendapatan rendah (B40) tidak akan mencetuskan suasana lambakan murid di sekolah terbabit.

Menteri Pendidikan, Maszlee Malik berkata, pelaksanaan kuota tersebut adalah supaya adil untuk semua golongan masyarakat tanpa perbezaan kedudukan

“Tidak, kenapa pula lambakan murid. Isu sebenarnya ada bilangan tertentu memasuki sekolah berasrama penuh, tidak masuk pun ada bilangan kuota yang ditetapkan.

“Itu tidak jadi isu, cuma siapa yang masuk ke sekolah berasrama penuh, itu yang penting kerana kita hendak mengembalikan semangat berasrama penuh supaya adil untuk semua tanpa perbezaan kedudukan dan ia polisi KPM dari dulu lagi,” katanya.

Beliau menyatakan demikian selepas melawat Sekolah Kebangsaan Putrajaya Presint 14 (1) bagi meninjau hari pertama persekolah s375 murid tahun 1, termasuk 75 murid prasekolah, di sekolah itu hari ini.

Dalam pada itu, Maszlee mengakui SBP sudah menjadi sekolah elit yang ‘diserbu’ anak-anak golongan orang kaya, sekali gus menafikan peluang pelajar golongan berpendapatan rendah.

“Sekolah berasrama penuh adalah untuk murid golongan orang miskin dan golongan luar bandar dan mereka yang kurang berkemampuan termasuk di kota.

“Tetapi mutakhirnya seperti diketahui ia menjadi seperti sekolah elit anak orang kaya pun pergi pula sekolah asrama penuh dan akhirnya anak anak kurang berkemampuan tak dapat peluang.

“Jadi kita kalau nak membantu ekonomi rakyat berpendapatan rendah ialah memberi peluang kepada anak keluarga bukan sekadar berpendapatan rendah B40 sahaja tetapi juga miskin kota, anak anak pasukan beruniform berpangkat rendah juga menikmati kualiti dan persekitaran pendidikan yang berkualiti,” ujarnya. – MalaysiaGazette