Beg duit milik salah seorang mangsa pesawat Lion Air yang terhempas ditemui oleh para penyelamat. foto CNN

AMSTERDAM – Jumlah nahas udara meningkat dengan ketara tahun lalu berbanding tahun 2017.

Bagaimanapun, tahun lalu masih merupakan tahun kesembilan paling selamat mengikut rekod.

Sebanyak 15 kemalangan maut membabitkan penerbangan udara pada tahun lalu mengorbankan 556 orang mangsaberbanding 44 pada tahun sebelumnya, menurut laporan Aviation Safety Network (ASN).

Manakala tahun 2017 merupakan sejarah penerbangan paling selamat bagi pesawat-pesawat komersial dengan tiada rekod nahas membabitkan penumpang.

Menurutnya, kemalangan paling buruk membabitkan pesawat Lion Air yang mengorbankan 189 orang mangsa.

Dalam kejadian pada bulan Oktober itu, pesawat Lion Air, Boeing 737 Max terhempas di Laut Jawa sejurus selepas berlepas dari Jakarta.

Kemalangan di Cuba pada bulan Julai yang membunuh 112 orang pula disebabkan kesilapan manusia.

Pada Februari pula, 66 orang terbunuh apabila sebuah pesawat terhempas di Gunung Zagros, Iran dan 51 orang yang lain terbunuh di lapangan terbang Kathmandu pada bulan Mac ketika pesawat hendak mendarat.

“Sekiranya kadar kemalangan tetap sama seperti 10 tahun lalu, terdapat 39 kemalangan maut pada tahun lepas.

“Kadar kemalangan pada tahun 2000, terdapat lebih kurang 64 kemalangan maut, ini menunjukkan kemajuan besar dari segi keselamatan dalam dua dekad yang lalu,” kata Ketua Pegawai Eksekutif ASN, Harro Ranter.

Tetapi ASN berkata, yang menjadi kebimbangan utama adalah kemalangan disebabkan kehilangan kawalan (LOC) kerana ini menyumbang sekurang-kurangnya 10 daripada 25 kemalangan terburuk dalam tempoh lima tahun yang lalu. – MalaysiaGazette