Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad bercakap kepada media pada Majlis Sambutan Ulang Tahun Ke-20 Muzium Kesenian Islam di Muzium Kesenian Islam, Jalan Lembah Perdana, Tasik Perdana, Kuala Lumpur. foto AFFAN FAUZI, 14 DISEMBER 2018

KUALA LUMPUR – Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad berkata tiada rakyat Malaysia yang kebal daripada dihukum kerana melakukan kesalahan termasuklah Raja-Raja Melayu.

Malah beliau berkata, Perlembagaan Persekutuan terpakai untuk semua golongan termasuklah pemimpin tertinggi seperti raja.

“Semua undang-undang lain diperoleh daripada perlembagaan. Tiada undang-undang yang boleh menafikan Perlembagaan Persekutuan.

“Peraturan undang-undang berlaku untuk semua orang dari raja-raja kepada perdana menteri dan menteri, kepada pegawai negeri dan warga biasa.

“Tiada peruntukan yang mengecualikan sesiapa dari peraturan undang-undang,” tulis beliau dalam blognya hari ini.

Menurut Ahli Parlimen Langkawi itu, raja-raja mempunyai mahkamah khas dan harus menghormati peruntukan undang-undang tersebut.

Malah katanya, kerajaan Pakatan Harapan akan menegakkan undang-undang dan hak-hak rakyat sebagaimana yang pernah dijanjikan sebelum ini.

“Peraturan undang-undang akan ditegakkan,” katanya lagi. -MalaysiaGazette