Paul Whelan.. foto Agensi

NEW YORK – Pesara tentera marin Amerika Syarikat yang ditahan oleh Rusia atas dakwaan mengintip berada di Moscow untuk menghadiri majlis perkahwinan.

Paul Whelan berada di sana untuk meraikan majlis rakannya, yang juga bekas tentera marin di Hotel Metropol di Moscow.

“Beliau seorang yang baik tanpa perlu diragui dan kami mempercayai bahawa haknya akan dihormati,” kata keluarga Whelan dalam satu kenyataan yang dikeluarkan di Twitter.

Perkhidmatan Keselamatan Persekutuan (FSB) berkata, lelaki Amerika itu ditahan pada Jumaat lalu tetapi butiran penahanan atas dakwaan mengintip tidak dimaklumkan.

Di bawah undang-undang Rusia, pengintip boleh dikenakan hukuman penjara antara 10 hingga 20 tahun.

“Obligasi Rusia di bawah Konvensyen Vienna menghendaki mereka menyediakan akses konsular. Kami telah meminta akses ini dan mengharapkan pihak berkuasa Rusia memberikannya,” kata wakil FSB, tanpa memberikan butiran mengenai identiti orang Amerika atau alasan di sebalik penahanannya.

Abang Paul, David Whelan enggan mengulas mengenai status pekerjaan adiknya ketika penangkapan itu berlaku.

BorgWarner, pembekal alat ganti automotif yang berpangkalan di Michigan berkata, Paul adalah pengarah syarikat keselamatan global.

Beliau bertanggungjawab untuk mengawasi keselamatan di kemudahan syarikat di Auburn Hills, Michigan dan di lokasi syarikat lain di seluruh dunia. – MalaysiaGazette