KUALA LUMPUR – Suara Rakyat Malaysia (Suaram) mengecam keputusan Menteri Dalam Negeri, Tan Sri Muhyiddin Yassin kerana mengekalkan Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-Langkah Khas) 2012 (SOSMA) dan Akta Pencegahan Jenayah (POCA).

Pengarah Eksekutif Suaram, Sevan Doraisamy menyifatkan dakwaan bahawa Sosma dan Poca memberikan jaminan keselamatan dan keselamatan negara sebagai satu ‘penipuan’, ‘tidak bertanggungjawab’ dan ‘berniat jahat’.

Malah, beliau berkata, pengekalan SOSMA dan POCA itu juga merupakan satu lagi pengkhianatan oleh pentadbiran Pakatan Harapan.

Menurutnya, Suaram dan beberapa kumpulan telah mengemukakan memorandum kepada Muhyiddin, yang mana beliau komited untuk mewujudkan kumpulan kerja bagi mengkaji undang-undang berkenaan sementara moratoriam dilaksanakan.

“Sejak itu, tidak ada sebarang maklum balas dan komunikasi daripada kementerian.

“Sekiranya pentadbiran sekarang gagal menegakkan semangat pembaharuan, yang membawa kepada kuasa, kegagalan itu pasti akan menyumbang kemerosotan sokongan dalam kalangan rakyat,” katanya dalam satu kenyataan di sini.

Tambah beliau, Suaram tetap menuntut SOSMA dan POCA dimansuhkan.

Jelasnya, tahanan sepatutnya diberi peluang untuk mempertahankan diri mereka secara adil di mahkamah, sejajar dengan prinsip hak kepada perbicaraan yang adil.

Kegagalan kerajaan Pakatan Harapan untuk menghapuskannya, bermakna ia tidak ada bezanya dengan Barisan Nasional.

Baru-baru ini, Muhyiddin berkata, SOSMA dan POCA akan dikekalkan manakala Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) tidak akan diperkenalkan semula.

Muhyiddin mengulangi pendirian bahawa kerajaan mahu mengekalkan undang-undang berkenaan berdasarkan cadangan jawatankuasa mengkaji mengenai undang-undang itu.

Namun, katanya, beberapa pindaan akan dilakukan. – MalaysiaGazette