Arkib

KUALA LUMPUR- Kerajaan tetap menanggung subsidi sebanyak RM213.2 juta subsidi petrol RON95 dan diesel pada November meskipun harga minyak mentah dunia mengalami kejatuhan.

Bagaimanapun, beban subsidi itu turun mendadak berbanding RM961.2 juta pada Oktober dan RM897.2 juta pada September 2018 seiring dengan trend kejatuhan harga minyak dunia.

“Rekod rasmi terkini menunjukkan bahawa pada bulan November 2018, Kerajaan telah membelanjakan RM4.1 Juta untuk subsidi petrol RON95 sepanjang bulan tersebut. Pada bulan yang sama, Kerajaan telah membelanjakan RM209.1 Juta untuk subsidi diesel,” kata Menteri Kewangan, Lim Guan Eng dalam satu kenyataan hari ini.

Tambah Guan Eng, bagi keseluruhan 11 bulan pertama tahun 2018, kerajaan telah menanggung kira-kira RM4.89 bilion subsidi RON95 dan diesel.

Katanya, kerajaan komited untuk melaksanakan mekanisme pengapungan harga petrol mingguan bermula bulan ini jika APM terus menurun.

Jika harga APM meningkat, harga runcit akan distabilkan kepada kadar semasa iaitu RM2.20 per liter bagi RON95 dan RM2.18 per liter bagi diesel.

Mekanisme ini akan diteruskan sehingga kerajaan melancarkan program subsidi petrol sebelum akhir tahun ini.

Selepas itu, harga petrol dan diesel akan diapungkan mengikut harga pasaran.

Dalam pada itu, beliau sekali lagi menegaskan kerajaan tidak pernah mengambil untung daripada harga runcit petroleum di samping tidak mengenakan cukai jualan kepada RON95 dan diesel.- MalaysiaGazette