Gambar hiasan

KUALA LUMPUR – Orang ramai memberikan pandangan berbeza-beza berhubung langkah kerajaan yang mengumumkan harga bahan api secara mingguan bermula malam ini.

Bagaimanapun, rata-rata penguna yang ditemui Malaysia Gazette menyifatkan, ia sebagai satu langkah yang sama pernah dilakukan oleh kerajaan terdahulu dan bukan penyelesaian terbaik masalah kenaikan harga barang.

Seorang kakitangan kerajaan, Mohd. Syafiq Abdul Wahid, 31, berkata, penurunan harga harga runcit bagi RON97 dan RON95 sebenarnya tidak benar-benar melegakan pengguna selagi harga barang tidak turun.

syafiq
Mohd Syafiq Abdul Wahid. foto HAZROL ZAINAL, 04 JANUARI 2019.

Ini kerana katanya, peniaga mungkin akan menjadikan penurunan harga bahan api  sebagai alasan untuk menaikkan harga jualan barang dan pihak berkuasa perlu memantau ia daripada berlaku.

“Hari ini, orang boleh bagi macam-macam alasan untuk menaikkan harga barang atau membiarkan harga jualan seperti sediakala tanpa menurunkan harga.

“Sekarang ini, kita baru merasai peralihan kuasa daripada kerajaan terdahulu dengan yang baharu. Jadi, bagi saya langkah menurunkan harga minyak untuk seminggu ini belum mampu lagi meredakan keresahan ramai terhadap harga barang yang meningkat.

Mohd. Firdaus Osman, 34, yang merupakan seorang pemandu kenderaan syarikat menyatakan pandangan sama berhubung langkah kerajaan melaksanakan dasar penstabilan harga runcit produk petroleum.

firdaus
Mohammad Firdaus Bin Hosman. foto HAZROL ZAINAL, 04 JANUARI 2019.

Katanya, tidak ada apa yang boleh dibanggakan selagi rakyat tidak merasai kesan daripada keseluruhan terutama melibatkan kos sara hidup.

“Harga minyak ini ikut pasaran dunia. Minggu ini mungkin ia turun tapi pada masa akan datang mungkin harga akan melonjak naik,” ujarnya.

Sementara itu, seorang anggota tentera, Muhammad Nur Faiz Suhaili, 23,  berkata, adalah lebih baik sekiranya kerajaan dapat menstrukturkan harga barang sama seperti harga minyak yang diturunkan mulai minggu ini.

nur faiz
Muhammad Nur Faiz Sohaini. foto HAZROL ZAINAL, 04 JANUARI 2019.

Ujarnya, penurunan harga minyak mungkin akan mengurangkan sedikit beban kepada golongan berpendapatan rendah terhadap pembelian bahan api.

“Bagaimana pula dengan harga barang keperluan? Adakah ia turun sama seperti harga bahan api ini?

“Jika tidak, ia seperti tidak memberi makna kerana rakyat mahukan sesuatu yang memberi impak lebih besar khususnya terhadap perbelanjaan harian mereka,” tambahnya. – MalaysiaGazette

Harga petrol turun 27 sen, diesel turun 14 sen