MANILA – Syarikat penerbangan kebangsaan Filipina memohon Arab Saudi untuk menggunakan ruang udara negara itu untuk penerbangan ke Israel, beberapa bulan selepas Riyadh meluluskan permohonan India.

Presiden Philippine Airlines, Jaime Bautista memberitahu Reuters bahawa lembaga aeronautik awam negara Asia Tenggara itu telah menghantar surat rasmi kepada Riyadh Oktobe lalu meminta para pegawai Arab Saudi memberi hak penerbangan.

Ia dapat memendekkan masa penerbangan dari Filipina manakala tambang dapat dikurangkan, kata Bautista sambil menambah syarikat penerbangan itu boleh melancarkan perkhidmatan terus ke Lapangan Terbang Ben Gurion di Tel Aviv dalam masa enam bulan sekiranya permohonan tersebut diluluskan.

Tidak jelas samada rundingan mengenai akses ruang udara dilakukan untuk syarikat penerbangan Israel ke Filipina.

Syarikat penerbangan Israel, El Al telah merayu kepada Persatuan Pengangkutan Udara Antarabangsa (IATA) untuk membantunya mendapatkan akses ruang udara Arab Saudi.

Kelulusan itu penting untuk Filipina dan Israel memandangkan bilangan pelancong Filipina melawat wilayah Palestin yang diceroboh Israel meningkat sebanyak 61 peratus pada 2017.

Setiausaha Jabatan Pengangkutan Filipina, Antonio Tamayo mengesahkan negaranya telah mendapat kebenaran hak mendarat di Israel pada bulan lalu berikutan lawatan Presiden Filipina ke Tel Aviv pada September.

Menurut beliau, tempoh penerbangan ke Israel akan memakan masa tambahan selama sejam tanpa kebenaran daripada Arab Saudi.

Pada Februari lalu, Arab Saudi dilapor membenarkan pesawat penumpang AirIndia ke Israel melalui ruang udaranya. Penerbangan pertama melalui ruang angkasa Arab Saudi ke Israel dilakukan pada Mac lalu.

Riyadh melarang penerbangan ke Israel menggunakan ruang udaranya sejak 70 tahun lalu. Bagaimanapun, pesawat persendirian masih boleh terbang dari Arab Saudi dan negara Teluk lain untuk ke Israel jika mereka berhenti di Amman, Jordan terlebih dahulu.

Para pemerhati mengaitkan kesediaan Riyadh membenarkan penggunaan ruang udaranya ke Israel untuk menstabilkan hubungan dengan Tel Aviv, proses yang dicita-citakan oleh Putera Mahkota, Muhammad bin Salman.

Pada November 2017, beberapa bulan selepas Mohamed dilantik manjadi Putera Mahkota, Menteri Tenaga Israel, Yuval Steinitz mendedahkan buat pertama kalinya Tel Aviv telah menghubungi Riyadh secara rahsia.

“Kami secara senyap berhubung dengan banyak negara Muslim dan Arab. Di pihak satu lagi yang berminat untuk menyorokkannya,” kata Steinitz sambil memberitahu pemimpin Arab Saudi dan Israel sedang bekerjasama menghalang pengaruh Iran di rantau itu. – Agensi