Menteri Kewangan, Lim Guan Eng bercakap pada sidang media berkenaan isu semasa di Kementerian Kewangan, Presint 2, Putrajaya. foto AFIQ RAZALI, 25 SEPTEMBER 2018.
Lim Guan Eng

KUALA LUMPUR –  Lim Guan Eng mendakwa artikel Nikkei yang melaporkan keadaan ekonomi semasa negara buruk adalah tidak tepat dan artikel berkenaan sudah disiarkan dua bulan lalu.

Menteri Kewangan itu mendakwa angka-angka yang digunakan oleh Nikkei adalah statistik lama dan tidak mampu menggambarkan prestasi ekonomi Malaysia untuk seluruh tahun.

Ini terutamanya apabila hanya dua bulan kemudian selepas bulan Ogos, lebihan dagangan bagi bulan Oktober 2018 telah meningkat kepada paras tertinggi dalam sejarah Malaysia, iaitu RM16.3 Bilion.

Eksport pula telah naik 17.7 peratus kepada RM96.4 bilion pada bulan yang sama dan ini juga merupakan paras tertinggi yang pernah dicatatkan.

Peningkatan drastik ini menunjukkan data bulanan mudah berubah dan sifatnya yang tidak stabil menjadikannya kurang baik untuk dijadikan satu-satunya rujukan keadaan ekonomi negara untuk seluruh tahun.

“Oleh itu, kita janganlah mudah beralih arah hanya kerana perubahan jangka masa pendek terutama sekali apabila gambaran keadaan ekonomi yang menyeluruh hanya boleh diberikan secara komprehensif dengan trend yang berjangka masa lebih panjang.

“Walaupun perangkaan seperti Indeks Pengurus Pembelian atau PMI pembuatan terbitan Nikkei yang jatuh ke paras 46.8 mata dalam bulan Disember mungkin relevan untuk bulan tersebut, ia tidak boleh digunakan bagi menggambarkan keadaan ekonomi Malaysia untuk seluruh tahun,” katanya dalam satu kenyataan di sini.

Dalam laporan itu, Nikkei menggunakan angka perdagangan bagi bulan Ogos 2018 dan melaporkan lebihan dagangan bagi bulan tersebut yang berjumlah RM1.6 bilion adalah terendah dalam tempoh 45 bulan sebelumnya.

Kata Guan Eng lagi, angka PMI mungkin akan naik dalam bulan-bulan mendatang seperti mana prestasi perdagangan bagi bulan Oktober 2018 telah meningkat dengan mendadak.

Perangkaan dalam jangka panjang seperti pelaburan langsung asing yang diluluskan bagi 9 bulan pertama tahun 2018 telah meningkat 250 peratus kepada RM49 Bilion.

Pelaburan ini akan mewujudkan pekerjaan berkualiti untuk rakyat Malaysia dalam masa terdekat.

Dari segi prestasi, pasaran saham Malaysia pula adalah yang kedua terbaik dalam Asia Pasifik bagi tahun 2018.

Kadar inflasi bulanan secara purata pula telah meningkat hanya 1.0 peratus tahun-ke-tahun untuk 11 bulan yang pertama dalam 2018 dan ini sebahagian besarnya disebabkan oleh pemansuhan Cukai Barangan dan Perkhidmatan (GST) dan pengenalan semula Cukai Jualan dan Perkhidmatan (SST).

Kadar inflasi dijangka terkawal dalam masa terdekat disebabkan oleh harga bahan bakar yang rendah.

Mata wang ringgit juga telah meningkat ke RM4.14 untuk AS$1 hari ini, daripada RM4.20 semasa bulan November 2018 semasa ringgit berada pada paras terlemah berbanding mata wang dolar Amerika Syarikat.

Menurutnya, Malaysia masih mempunyai lebihan akaun semasa yang tinggi pada RM22.7 bilion, atau 2.5 peratus daripada Keluaran Dalam Negara Kasar setakat September 2018.

“Ini salah satu faktor mengapa agensi penarafan antarabangsa telah memutuskan untuk mengekalkan penarafan kredit Kerajaan dan juga mendorong Bloomberg untuk menobatkan Malaysia sebagai negara terbaik dalam senarai 20 pasaran baru muncul untuk tujuan pelaburan,” katanya.

Imbangan akaun semasa negara akan terus kekal positif untuk tahun ini dan sistem perbankan Malaysia mempunyai kecairan yang mencukupi.

Manakala sistem monetari negara berada dalam keadaan yang sihat serta stabil dan kerajaan akan terus menggalakkan pertumbuhan ekonomi secara mampan untuk meningkatkan kesejahteraan rakyat. – MalaysiaGazette