petrol
Gambar fail: Stesen minyak Petronas

KUALA LUMPUR – Kerajaan Pakatan Harapan dikhuatiri bakal menanggung kos tambahan sebanyak RM900 juta setahun jika berlaku kenaikan harga minyak pada masa depan selepas menaikkan margin keuntungan kepada pengusaha-pengusaha stesen minyak.

Beban tambahan itu dikhuatiri terpaksa ditanggung oleh rakyat melalui harga runcit petrol yang lebih mahal atau oleh kerajaan dalam bentuk subsidi.

Kebimbangan itu berdasarkan persetujuan kerajaan untuk menetapkan harga siling untuk RON95 pada tahap RM2.20 satu liter dan memberi subsidi jika harga minyak diapung melebihi harga siling ini.

MGF15082018_PARLIMENMALAYSIA_16

Najib RazakJika janji harga siling itu ditepati, ia bermakna kerajaan juga akan memberi subsidi kepada stesen minyak jika harga minyak melebihi RM2.20 satu liter selepas kenaikkan margin keuntungan mereka.

Dakwa Datuk Seri Najib Razak, jumlah RM900 juta untuk setahun bagi stesen-stesen minyak itu jauh lebih tinggi berbanding jumlah yang dibayar oleh kerajaan Pakatan Harapan untuk bantuan musim tengkujuh pekebun kecil (RM165 juta), bantuan awal persekolahan (RM328 juta) dan bantuan kewangan khas kepada Felda (RM77 juta) yang telah diumumkan bulan lepas.

“Adakah kerajaan PH sedar mengenai kemungkinan ini?,” soal bekas Perdana Menteri itu dalam satu kenyataan di sini.

Beliau mengulas tindakan kerajaan menaikkan margin keuntungan pengusaha stesen minyak sebanyak 23 peratus bagi RON95 iaitu dari 12.19 sen kepada 15 sen satu liter. Manakala untuk diesel pula ditingkatkan sebanyak 43 peratus iaitu dari 7 sen kepada 10 sen seliter.

Kenaikan itu diumumkan serentak dengan pengumuman harga baharu bahan api selepas apungan minggu dilaksanakan mulai semalam.

Ahli Parlimen Pekan itu berkata, kerajaan Barisan Nasional tidak menaikkan margin keuntungan pengusaha stesen minyak ketika apungan semula harga minyak dilaksanakan.

Pengapungan yang dilakukan oleh kerajaan Barisan Nasional setiap minggu bukan perkara baharu kerana pernah berbuat demikian sebelum itu.

Menurut beliau, niat untuk membantu pengusaha stesen minyak memang wajar tetapi langkah itu membebankan pengguna dan rakyat yang lebih memerlukan.

Sudah tentu bantuan kepada rakyat akan dikurangkan apabila kerajaan memberi subsidi kepada pengusaha-pengusaha stesen minyak.

Soal Najib,mengapa kerajaan tidak mempertimbangkan cara lain untuk membantu pengusaha stesen minyak dalam menangani kos operasi seperti memberi pinjaman mudah untuk menambah hasil jualan dengan mempelbagaikan jenis barang dan perkhidmatan yang boleh dijual di stesen minyak mereka.

Atau pun membantu pengusaha-pengusaha stesen minyak berunding dengan syarikat minyak supaya mereka tidak akan mengalami kerugian yang besar akibat daripada perubahan harga minyak mingguan.

“Adakah kerajaan PH akan membenarkan kenaikan margin keuntungan yang membebankan rakyat setiap kali ada golongan berkepentingan datang mengadu kepada kerajaan ataupun hanya untuk syarikat minyak?

Secara sinis, Najib berkata, kerajaan sekarang mungkin mampu membayar ganti rugi stesen-stesen minyak yang mengadu kerugian antara RM30 juta hingg RM40 juta akibat penurunan harga petrol hari ini selepas mengutip ratusan juta daripada hasil cukai minyak tersembunyi. – MalaysiaGazette