Jenazah mangsa akan dikebumikan di kampungnya di Thailand.
Jenazah mangsa akan dikebumikan di kampungnya di Thailand.

GEORGE TOWN – Bapa kepada kanak-kanak perempuan berusia lapan tahun yang melecur akibat disimbah air panas oleh lelaki itu dalam kejadian di rumah mereka di Flat Kampung Melayu, Air Itam minggu lepas, telah ditahan polis hari ini.

Ketua Polis Daerah Timur Laut, ACP Che Zaimani Che Awang berkata, lelaki berusia 42 tahun dan isterinya, 34, berjaya ditahan di hadapan sebuah kedai durian di Jalan Paya Terubong, di sini kira-kira pukul 10 pagi.

“Lelaki itu yang melarikan diri bersama isteri dan anak bongsu mereka dipercayai kembali semula ke Pulau Pinang hari ini dan berdasarkan intipan serta maklumat yang diperolehi polis berjaya mengesan pasangan suami isteri berkenaan pagi ini,” katanya di sini.

Katanya, pasangan suami isteri yang mempunyai empat anak termasuk mangsa itu akan dibawa ke mahkamah esok bagi membolehkan polis mendapatkan perintah remah untuk siasatan lanjut.

“Kes itu disiasat mengikut Seksyen 31(1)(a) Akta Kanak-Kanak 2001,” katanya.

Dalam kejadian minggu lepas itu, kanak-kanak perempuan berkenaan melecur selepas disiram air panas oleh bapanya selepas dia dipercayai menghabiskan makanan keluarganya.​​​​​​​

Dalam kejadian pukul 1 pagi itu, mangsa yang juga anak perempuan tunggal daripada empat beradik melecur di lengan, rusuk dan dada kanan, namun keadaannya dilaporkan stabil.​​​​​​​

Sementara itu,Timbalan Pengarah Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) Pulau Pinan,g R.Chitarthany berkata, kanak-kanak perempuan itu akan ditempatkan di bawah jagaan JKM namun ketika ini mangsa masih dirawat di Hospital Pulau Pinang (HPP) akibat melecur tiga peratus.

Katanya, selepas dibenarkan keluar hospital, pihak JKM akan menempatkan mangsa di rumah perlindungan kanak-kanak untuk sementara waktu.

“Kami sudah bertemu dengan datuk serta nenek mangsa yang berumur lingkungan 80 tahun dan buat sementara waktu mereka sedang menjaga adik beradik mangsa.

“Jadi, selepas mangsa keluar hospital, kami akan tempatkan dia di rumah perlindungan kanak-kanak untuk sementara waktu,” katanya. – Bernama