Wong Soon Koh

KUCHING – Parti Rakyat Bersatu (UPP), kini dijenamakan semula sebagai Parti Sarawak Bersatu (PSB), setakat ini belum menerima tawaran rasmi Gabungan Parti Sarawak (GPS) untuk menyertai gabungan itu.

“Kami akan tunggu pelancaran rasmi GPS pada 19 Januari, dan selepas itu kami akan tunggu dan lihat,” kata presidennya, Datuk Seri Dr Wong Soon Koh.

Wong, yang juga Menteri Perdagangan Antarabangsa dan E-Dagang Sarawak berkata, tidak pernah timbul isu bagi PSB menjadi parti mesra GPS, dan untuk itu ia akan terus mengikrarkan kesetiaan mutlak kepada GPS dan Ketua Menteri Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg.

“Kami memberi sokongan penuh terhadap semua dasar yang ditetapkan oleh Datuk Patinggi Abang Johari dalam perjuangannya untuk memulihkan hak Sarawak,” tegas beliau.

Wong berkata beliau menghargai Parti Pesaka Bumiputera (PBB) kerana memperakui PSB sebagai sebahagian dari GPS, sambil mengucapkan terima kasih kepada naib presiden Datuk Abdul Karim Rahman Hamzah kerana menyatakan bahawa PSB adalah sebahagian daripada GPS.

Pada Dis tahun lepas semasa persidangan perwakilan luar biasa PSB di Kuching, Abang Johari membayangkan bahawa PSB akan diterima sebagai anggota gabungan GPS.

Di samping PBB, anggota lain GPS ialah Parti Rakyat Bersatu Sarawak (SUPP), Parti Rakyat Sarawak (PRS) dan Parti Demokratik Progresif (PDP).