Datuk Mohd Khairuddin Aman Razali
Datuk Mohd Khairuddin Aman Razali

KUALA LUMPUR – Naib Presiden PKR, Rafizi Ramli menjadikan Presiden Pas sebagai sasaran serangan kerana hendak melepaskan kekusutan yang membelenggu fikiran beliau berikutan kemelut politik yang berlaku dalam parti itu.

Ahli Parlimen Kuala Nerus, Datuk Dr Mohd Khairuddin Aman Razali berkata, menyedari namanya yang semakin membusuk dan impian untuk melihat Presiden PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim menjadi Perdana Menteri masih berliku, beliau bertindak menyerang Datuk Seri Abdul Hadi Awang.

Katanya, Rafizi juga risau dengan lawannya, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali semakin mencanak naik dan disebut pula bakal Perdana Menteri menggantikan Tun Dr Mahathir Mohamad.

“Pertembungan dalaman PKR sudah menjadi rahsia terbuka dan bagi mengalihkan perhatian rakyat, beliau menyerang Presiden Pas dengan mengambil kesempatan isu Lembaga Tabung Haji (LTH) yang sebenarnya masih menggambarkan kekalutan kerajaan Pakatan Harapan (PH).

“Rafizi usah mahu menjadi hero lagi. Jika penyelewengan LTH benar-benar berlaku, sila tampil kemukakan di mahkamah. Bukan hanya highlight di media sosial kerana terdapat pihak (Barisan Nasional) juga mempunyai hujah mereka. Media trial bukan penyelesaian terbaik,” katanya dalam kenyataan kepada media di sini, semalam.

Dr Mohd Khairuddin berkata, tidak dinafikan, terdapat pelaburan LTH yang rugi, begitu juga kemungkinan wujud ‘creative accounting’ bagi membolehkan LTH membayar dividen.

Cuma, katanya, terdapat beberapa keraguan dan perincian yang belum dijelaskan oleh LTH.

“Antaranya, percanggahan dapatan Laporan Ketua Audit Negara dan PriceWaterHouseCoopers. Permainan persepsi dan memanipulasi data sememangnya kepakaran PH sejak sebelum PRU ke-14,” katanya.

Selain itu, jelas Dr Mohd Khairuddin, kaedah penyelesaian menerusi syarikat tujuan khas (SPV).

Katanya, terdapat juga aset ekuiti yang dipindahkan kepada SPV tidak mengikut kriteria yang ditetapkan oleh LTH.

Begitu juga prospektus aset ekuiti yang dilihat akan memberikan keuntungan jangka panjang kepada LTH. Isu ini perlu diperjelaskan oleh kerajaan.

“Oleh sebab itu, isu utama LTH ialah dakwaan skandal penyelewangan sejak zaman Perdana Menteri keempat sehingga kini yang belum diselesaikan termasuk laporan polis oleh pengurusan tertinggi LTH pada 30 November lalu.

“Mengapa isu defisit RM4 bilion pula yang banyak diberikan perhatian? Nasihat saya kepada Rafizi, usahlah sibuk dengan Presiden Pas. Jagalah Presiden kamu baik-baik dari serangan rakan sekutu sendiri,” katanya. – MalaysiaGazette

1 Komen

  1. Ngape tak Si Bulan ini tak jawap dgn jelas isu yg di bangkitkan Oleh Rafizi Dari mengungkit isu dalaman PKR?

    Siape yg berfikiran SERABUT di sini?

Comments are closed.