Kesan kejadian di pejabat Seniman yang dipecah masuk awal pagi tadi.

KUALA LUMPUR –  Nasib malang menimpa Persatuan Seniman Malaysia (Seniman) apabila pejabatnya telah dipecah masuk pada awal pagi tadi.

Setiausaha Agungnya, Hafiz Nafiah memberitahu, kejadian yang berlaku pukul 10 pagi itu hanya disedari kakitangannya sebaik tiba di pejabat.

“Sehubungan itu, Seniman telah membuat laporan Polis di Balai Polis Taman Melawati untuk proses siasatan lanjut oleh Pihak Berkuasa.

“Seniman menyerahkan segala kepercayaan kepada pihak berkuasa untuk menjalankan siasatan dan menangkap suspek untuk dibawa ke muka pengadilan.

“Seniman menganggap ini adalah jenayah serius yang dilakukan oleh pihak yang tidak bertanggungjawab,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Hafiz menambah, jumlah kerugian yang dialami Seniman dianggarkan sebanyak RM 5000 termasuk wang tunai.

Bagaimanapun jelas beliau, pejabat Seniman Malaysia beroperasi seperti biasa bermula pukul 9.30 pagi – 5.30 petang dari Isnin hingga Jumaat.

“Seniman memohon agar seluruh ahli-ahli Seniman untuk mendoakan agar perjalanan persatuan diberkhati dan dilindungi oleh Allah SWT,” katanya. – MalaysiaGazette