Menteri Wilayah Persekutuan, Datuk Khalid Samad mencadangkan kepada Datuk Zaharin Mohd Yasin supaya menarik balik tuduhan beliau dan meminta maaf.
Menteri Wilayah Persekutuan, Datuk Khalid Samad.

KUALA LUMPUR – Tidak semua pusat hiburan perlu menutup premis perniagaan pukul 1 pagi sebaliknya ada yang dibenarkan beroperasi sehingga 5 pagi seperti sebelum ini.

Menteri Wilayah Persekutuan, Khalid Abdul Samad berkata, daripada 672 pusat hiburan di Wilayah Persekutuan, sebanyak 24 premis dibenarkan beroperasi sehingga 5 pagi di ibu kota terutamanya di Bukit Bintang.

Menurut beliau, sebanyak 149 premis pula akan dibenarkan beroperasi sehingga jam 3 pagi.

“Sebelum ini, penutupan awal pusat hiburan hanya cadangan belum lagi dikuatkuasakan. Setelah berbincang dengan pihak berwajib dan meneliti semua kepentingan, kita buat keputusan ini.

“Daripada keseluruhan 672 pusat hiburan di Kuala Lumpur, ada 24 premis yang lesennya menyatakan tutup lima pagi. Kelab malam ini yang berada di Bukit Bintang, Changkat, Zouk dan sebagainya.

“Ada juga 118 yang tutup pada pukul 3 pagi yang ada dalam kawasan pusat bandaraya terutamanya di Bukit Bintang. Ada yang di luar pusat bandaraya tutup pukul 3 pagi sebanyak 31 premis seperti kawasan Solaris Dutamas, Scot Garden Jln Kelang Lama dan Jalan Telawi Bangsar.

“Dari angka ini, kita dapati tidak sampai separuhnya daripadanya yang tutup lewat antara tiga hingga lima pagi. Kita juga telah adakan perbincangan dengan pihak berwajib termasuk 11 ahli parlimen.

“Premis-premis yang lesennya menyatakan operasi antara 3 hingga 5 pagi ini kita benarkan operasi dengan syarat mereka mematuhi undang-undang khasnya waktu-waktu operasi ini,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas mempengerusikan mesyuarat Majlis Menteri Wilayah Persekutuan yang pertama untuk 2019 di Dewan Bandar Raya Kuala Lumpur (DBKL) petang ini.

Tambah Khalid, setiap pemilik pusat hiburan ini juga tertakluk dengan setiap peruntukan undang-undang dan tindakan tegas akan di ambil tanpa mengambil berkompromi selepas ini.

“Kita pandang berat seandainya wujud aktiviti-aktiviti tidak sihat seperti dadah dan pelacuran serta perlakuan yang menyalahi undang-undang di pusat-pusat hiburan ini terutamanya yang beroperasi sehingga lewat pagi.

“Walaupun dibenarkan beroperasi seperti sediakala mereka juga di ingatkan untuk sentiasa mematuhi arahan seperti bunyi muzik, waktu penutupan seperti yang di tetapkan dalam lesen perniagaan mereka.

“Tindakan seperti surat amaran pertama, tindakan penutupan premis seminggu sehingga sebulan atau lebih lagi kepada mana-mana pihak yang tidak patuh juga sedang dalam peringkat kajian dan kita akan umum semua ini kelak,” ujarnya.

Sebelum itu,  wujud rasa tidak puas hati dalam kalangan pengusaha kelab malam di Kuala Lumpur menggesa Putrajaya dan DBKL mempertimbangkan semula cadangan tutup semua pusat hiburan pada 1 pagi.

Mereka mendakwa langkah itu bukan hanya menjejaskan perniagaan tetapi juga ekonomi negara sambil mendakwa pusat hiburan banyak menyumbang kepada industri pelancongan dengan menarik pelanggan tempatan dan antarabangsa.

Mereka berkata, kebanyakan pelanggan hanya tiba di pusat hiburan selepas tengah malam maka penutupan 1 pagi itu akan menjejaskan perniagaan mereka. -MalaysiaGazette

http://malaysiagazette.com/blog/2018/12/03/ahli-parlimen-bukit-bintang-tidak-setuju-pusat-hiburan-ditutup-jam-1/