Dana kira-kira RM20 juta adalah peruntukan penyelidikan dan pembangunan (R&D) sedia ada untuk Kementerian Pembangunan Usahawan (MED) dan hanya sebahagian akan digunakan bagi pembangunan prototaip kereta nasional ketiga, kata Menterinya Datuk Seri Mohd Redzuan Yusof.
Mohd Redzuan Md Yusof

CYBERJAYA – Dana kira-kira RM20 juta adalah peruntukan penyelidikan dan pembangunan (R&D) sedia ada untuk Kementerian Pembangunan Usahawan (MED) dan hanya sebahagian akan digunakan bagi pembangunan prototaip kereta nasional ketiga, kata Menterinya Datuk Seri Mohd Redzuan Yusof.

MED, seperti juga kementerian lain, mempunyai geran untuk R&D dan beliau telah mengetengahkan pandangan kepada jemaah menteri supaya sebahagian daripada dana tersebut digunakan bagi mewujudkan prototaip kereta nasional.

Bercakap pada sidang media selepas majlis pra pelancaran Ekspo Halal Malaysia 2019 (MHE2019) di sini hari ini, Redzuan juga berkata kos penyediaan prototaip kereta nasional, yang akan dibangunkan oleh vendor yang bakal diputuskan kelak, adalah lebih rendah daripada jumlah itu.

“Dana R&D yang dimiliki kementerian dianggarkan berjumlah RM20 juta, dan kita tidak gunakan kesemuanya untuk hasilkan prototaip kerana kita akui kos bagi bangunkan prototaip adalah lebih rendah daripada itu,” katanya mengulas pandangan sesetengah pihak yang mempertikaikan tindakan kementerian menggunakan wang kerajaan bagi menjayakan projek kereta nasional itu.

Semalam, Redzuan dilaporkan berkata kementeriannya telah meluluskan dana bernilai hampir RM20 juta untuk menarik minat pelabur swasta bagi membangunkan prototaip kereta nasional ketiga.

Katanya, pengkritik projek kereta nasional tersebut tidak memahami perkara atau kebaikan tersirat di sebalik idea tersebut.

ARTIKEL BERKAITAN: Dana RM20 juta bagi prototaip kereta nasional ketiga

Perkara tersirat yang tidak diberi perhatian ialah kewujudan projek kereta nasional itu boleh menjadi pemangkin kepada ramai usahawan automotif dan mereka yang terlibat dalam ‘internet of thing’, robotik, perisian serta aeroangkasa untuk turut sama memperoleh peluang ekonomi.

“Apabila bercakap tentang industri automobil, ia akan melibatkan banyak aktiviti kejuruteraan lain kerana pembuatan kereta memerlukan banyak kepakaran dan sebab itu kita perlu membangunkan satu model atau prototaip yang tentunya memerlukan dana,” katanya.

Menteri Kewangan Lim Guan Eng sebelum ini berkata kerajaan tidak membuat sebarang keputusan untuk membuat pelaburan dalam projek kereta nasional ketiga itu, namun menegaskan tidak mempunyai masalah untuk menyalurkan peruntukan bagi menjalankan penyelidikan dan pembangunan.

— BERNAMA