CEO PMB Tijari Bhd., Wan Sazri Wan Zaid

KUALA LUMPUR- Pelaburan Mara Bhd (PMB) melantik Wan Sazriz Wan Zaid sebagai Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) baharu anak syarikatnya, PMB Tijari Bhd, berkuat kuasa pada 2 Januari lalu.

Dalam satu kenyataan, PMB berkata Wan Sazriz menggantikan Tengku Ahmad Badli Shah Raja Hussin yang dilantik sebagai Pemangku CEO Kumpulan PMB.

“Wan Sazriz adalah pilihan terbaik bagi mengetuai PMB Tijari. Latar belakang serta pengalaman beliau yang luas dalam bidang pentadbiran perniagaan dan kewangan akan mampu membantu PMB Tijari memperkukuh saluran perkongsian perniagaan, membangunkan pakatan strategik dan seterusnya mengembangkan perniagaan ke seluruh negara.

“Kami yakin pengalaman kepimpinannya yang kukuh itu akan membantu PMB Tijari menumpukan proses pertumbuhan serta meningkatkan keuntungan,” kata Tengku Ahmad Badli Shah.

Wan Sazriz adalah lulusan Sarjana Pentadbiran Perniagaan (MBA) dalam bidang Pengurusan Strategik Universiti Teknologi Mara (UiTM) serta Ijazah Sarjana Muda Pentadbiran Perniagaan (Kewangan) universiti sama.

Beliau juga berpengalaman lebih 17 tahun dalam pengurusan tertinggi syarikat termasuk empat tahun sebagai Ketua Program ‘Carve Out & Compete’, Perkhidmatan Kewangan dan Projek Khas Unit Peneraju Agenda Bumiputera (TERAJU), sebelum ini.

Selain itu, beliau juga pernah berkhidmat dengan Malaysia Debt Ventures Bhd, Maybank dan Citibank.

-BERNAMA