Rahaf Mohammed al-Qunun. foto Agensi

BANGKOK – Seorang remaja Arab Saudi yang melarikan diri daripada keluarganya dan enggan meninggalkan sebuah hotel di sini telah diisytiharkan sebagai pelarian yang sah oleh Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB), kata kerajaan Australia.

Rahaf Mohammed al-Qunun, 18, enggan menaiki pesawat dari Bangkok ke Kuwait pada Isnin lalu dan mengurung diri di dalam bilik hotel.

Beliau mendakwa bimbang akan dibunuh oleh keluarganya selepas dia bertindak keluar daripada Islam.

Agensi pelarian PBB (UNHCR) telah merujuk kes remaja itu kepada Australia untuk penempatan semula.

Dalam satu kenyataan ringkas, Jabatan Hal Ehwal Dalam Negeri Australia berkata, ia akan “mempertimbangkan rujukan ini dengan cara yang biasa”.

“Kerajaan tidak akan memberi komen lanjut mengenai perkara ini,” katanya.

Pejabat UNHCR di Thailand juga enggan mengulas.

Bapa dan adik lelaki Mohammed al-Qunun telah tiba di Thailand tetapi remaja tersebut enggan bertemu dengan mereka.

Kisah remaja itu mendapat perhatian dunia selepas dia berkongsi mengenai kehidupannya.

Dia mendakwa tindakannya keluar dari ajaran Islam akan menyebabkan beliau dikenakan hukuman mati.

Malah, Rahaf mendakwa kehidupan dia dalam bahaya dan keluarganya mengancam untuk membunuhnya meskipun untuk perkara-perkara yang paling remeh.

Bapa Rahaf, Mohammed al-Qunun adalah Gabenor al-Sulaimi, bandar di utara wilayah Hail.

Jurucakap keluarganya enggan mengulas mengenai kejadian itu dan mereka cukup bimbang tentang keselamatan remaja tersebut. – MalaysiaGazette